Ramai yang percaya bahawa ibu bapa adalah sumber nasihat untuk kerjaya seorang anak apabila memasuki alam pekerjaan.

Namun, menurut kajian oleh LinkedIn, dua per tiga golongan ibu bapa tidak tahu apa yang anak mereka lakukan di tempat kerja.

Buat pertama kali di Malaysia, LinkedIn dengan kerjasama Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC) memperkenalkan Bring In Your Parents Day atau 'Hari Bawa Ibu Bapa Anda ke Tempat Kerja'.

Satu sambutan yang unik, hari Bring In Your Parents Day ini memberi peluang kepada ibu bapa merapatkan jurang antara pekerja dan ibu bapa mereka apabila ia berkaitan dengan nasihat.

MaGIC
Bring In your Parents Day beri peluang kepada ibu bapa mengambil tahu pekerjaan yang dilakukan anaknya di tempat kerja. - Gambar fail

Ketua Pegawai Eksekutif MaGIC, Cheryl Yeoh berkata, inisiatif membuka pejabat kepada ibu bapa kakitangannya dilihat sebagai satu langkah yang baik agar ibu bapa tiada lagi ragu-ragu terhadap pekerjaan yang dilakukan anaknya.

"Bidang usahawan ini adalah sesuatu yang baharu. Ramai ibu bapa tidak tahu kerjaya seorang usahawan.

"Oleh kerana MaGIC adalah sebuah organisasi yang menyokong para usahwan, kami perlu menjadi pendahulu dan bawa ibu bapa kami (ke pejabat) untuk memberi peluang kepada mereka memahami kerjaya kami," kata Cheryl.

Beliau turut berharap agar usahawan-usahawan lain dapat melakukan inisiatif yang sama.

Bring In Your Parents Day turut diadakan di 17 negara lain termasuk di Amerika Syarikat dan negara-negara di Eropah.

Pada tahun lepas, 25 ribu ibu bapa menyertai program sebegini dan antara syarikat-syarikat gergasi yang turut serta adalah Samsung dan Doro.