Lebih 3.5 juta pengunjung dijangka memenuhi setiap ruang di Pameran Antarabangsa Hotikultur Dan Agro Pelancongan (MAHA) 2018 yang akan berlangsung esok sehingga 2 Disember ini.

Mungkin ramai yang tidak menyedari, sebenarnya MAHA telah berusia lebih 90 tahun sejak pertama kali diadakan pada 1923.

MAHA kali ini turut mensasarkan jumlah dagangan dan pemadanan perniagaan sebanyak RM300 juta manakala jumlah penglibatan belia dijangka meningkat lebih tiga puluh peratus berbanding edisi yang lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Salahuddin Ayub meluangkan masa meninjau persiapan terakhir yang dilakukan di MAEPS.

Ruang pameran MAHA 2018 kali ini membabitkan kawasan seluas 40,000 meter persegi atau enam kali ganda keluasan padang bola bagi pameran dalam dewan.

Pameran dalaman dibahagikan kepada enam kluster pameran iaitu Agro Kluniari, Agro Pelancongan, Agro Belia, Agro Teknologi, Produk Asas Tani dan Jualan serta Agro Makanan.

Manakala bagi pameran membabitkan luar dewan pula dibahagikan kepada tujuh laman iaitu Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur serta Laman Mekanisasi, Automasi dan Teknologi.

MAHA 2018 juga turut memperkenalkan segmen terkini seperti Sumber Rezeki Baharu, Teknologi Pertanian Terkini, Miracle Garden, Festival kanak-kanak terbesar Lolababa dan banyak lagi.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dijangka akan menyempurnakan Majlis Perasmian Maha 2018 pada jam 2.30 petang esok.