PUTRAJAYA:Datuk Mahadi Che Ngah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang baharu bagi tempoh dua tahun berkuatkuasa hari ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, pelantikan itu dibuat bagi menggantikan Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang tamat perkhidmatan pada 30 September.

"Pelantikan tersebut telah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong  serta persetujuan oleh Perdana Menteri," katanya dalam sidang media pada Khamis.

Mahadi yang berkelulusan ijazah dalam bidang Perancang Bandar dan Wilayah memulakan kerjaya di Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai Pegawai Perancang Bandar dan Desa pada April 1983 sebelum bersara wajib pada September 2019.

Menurut Annuar, tempoh perkhidmatan dan pengalaman beliau bersama sebelum ini dilihat mampu menerajui DBKL.

Dalam masa sama beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap Nor Hisham atas segala usahanya dalam menguruskan hal perbandaran selama tempoh perkhidmatan beliau.

Majlis Penyampaian Watikah akan diadakan di DBKL pada pukul 10.30 pagi Jumaat ini.