Polis mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah yang berlaku dalam penemuan jenazah personaliti popular, Allahyarham Datuk Mahadzir Lokman yang ditemukan meninggal dunia di sebuah bilik hotel di Shang Ri La, Tanjung Aru, Kota Kinabalu, pagi tadi.

Allahyarham ditemukan tidak sedarkan diri di biliknya kira-kira jam 11 pagi oleh sepasukan anggota polis yang terdahulu menerima maklumat mengenai insiden berkenaan oleh orang awam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner (ACP), Habibi Majinji ketika dihubungi Astro AWANI hari ini mengesahkan kejadian dan berkata polis masih menunggu keputusan bedah siasat daripada pihak hospital bagi mengenal pasti punca sebenar kematian Allahyarham.

"Berdasarkan siasatan awal, polis menerima maklumat mengenai perkara itu oleh orang awam dan sebaik membuat pemeriksaan di bilik hotel mangsa pada jam 11 pagi tadi, mangsa difahamkan sudah meninggal dunia.

BACA: Mahadzir Lokman meninggal dunia

"Hasil siasatan juga mendapati, Allahyarham sudah berada di negeri ini sejak 31 Julai lalu dan setakat ini, kita tidak menemukan sebarang unsur jenayah dalam insiden berkenaan.


"Kes ini diklasifikasikan sebagai kejadian mati mengejut atau sudden death report (SDR)," katanya.

Sementara itu, tinjauan di pekarangan Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, pada petang tadi mendapati jenazah mangsa kini berada di bilik mayat untuk tindakan lanjut.

Sekitar jam 1.55 petang tadi, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isterinya, Datin Seri Suriyani Shuib turut berkesempatan melawat jenazah Allahyarham di HQE sebelum beredar kira-kira setengah jam kemudian.

Allahyarham Mahadzir, 61 tahun, pernah dilaporkan menjalani rawatan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Kuala Lumpur pada September lalu kerana masalah penyakit paru-paru dan buah pinggang.

Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke Kuala Lumpur pada jam 7.40 petang ini melalui penerbangan kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) sejurus semua pengurusan selesai oleh ahli keluarganya.

Allahyarham dilahirkan pada tahun 1957 dan memulakan pendidikan di Methodist Boys' School di Kuala Lumpur, Sekolah Sultan Abdullah di Kuantan, Sabah College di Kota Kinabalu, dan Victoria Institution di Kuala Lumpur.

Allahyarham kemudian melanjutkan pelajaran beliau di Kolej Langside dan Clydebank Technical College di Glasgow, Scotland, United Kingdom.

Allahyarham ialah graduan Universiti Ohio di Athens, Ohio, Amerika Syarikat dalam jurusan Pentadbiran Perniagaan Antarabangsa.

Antara kerjaya awal Allahyarham adalah sebagai seorang penyampai berita di sebuah stesen televisyen swasta dan merupakan antara personaliti yang disegani ramai sehingga kini.

Selain itu, Allahyarham juga merupakan pengacara untuk majlis-majlis besar negara yang antara lain seperti Tilawah Quran Tahunan Antarabangsa serta majlis rasmi yang melibatkan ketua negeri dan ketua-ketua kerajaan Malaysia.

Pada tahun 2007, Allahyarham dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) oleh Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah.

Allahyarham juga menerima anugerah Kesatria Setia Diraja (KSD) oleh Yang di-Pertuan Agong ke-10 iaitu Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul.

Allahyarham turut fasih berbahasa Perancis, selain bahasa Melayu dan Inggeris.

Atas usaha Allahyarham dalam mempromosikan bahasa dan kebudayaan Perancis, Mahadzir dianugerahkan 'Ordre Les Palmes Academiques " oleh Kerajaan Perancis pada tahun 2006.