Mahathir digesa segera bentuk Kabinet

Mahathir digesa segera bentuk Kabinet
Abdul Rahman mendakwa banyak dasar dan hala tuju kerajaan diumumkan mereka yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan. -Gambar fail
KUALA LUMPUR:

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad digesa membentuk Kabinet secepat mungkin supaya negara dapat bergerak seperti biasa.

Ahli Unit Komunikasi Umno, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata rakyat berada dalam keadaan resah dan gelisah menunggu barisan Kabinet walaupun PRU14 selesai seminggu lalu, namun tiada bayangan jelas pembentukan Kabinet.

Beliau mendakwa banyak dasar dan hala tuju kerajaan diumumkan mereka yang bukan menteri dan ini bertentangan dengan tatacara urusan kerajaan.

“Hal ini juga akan mengundang masalah kerana mereka yang mengumumkan dasar tidak ada legitimasi untuk berbuat demikian. Menjadi harapan kami, penubuhan Kabinet berjalan dengan teratur demi kesejahteraan rakyat dan negara.

“Kami mahu proses pelantikan menteri Kabinet mengikut proses yang termaktub dalam perlembagaan dan menghormati kedaulatan Majlis Raja-Raja. Pelantikan yang tidak teratur atau dibuat ala koboi akan mengakibatkan negara kita hilang integriti dan tidak dihormati,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, mengambil contoh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang dilantik sebagai Menteri Kewangan mendapat reaksi negatif rakyat.

“Sudah pasti Mahathir tahu bahawa Guan Eng kini menghadapi pertuduhan rasuah dan akan menjalani perbicaraan maka tidak hairanlah perdana menteri membuat pusingan U mengenai pelantikan menteri kewangan setelah tindakannya dipersoal rakyat,” katanya.

Rahman berkata, beliau berharap kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mentadbir negara dengan baik dan tenteram selain mahu kerajaan ketika ini segera memenuhi segala janji dalam manifesto mereka dalam tempoh 100 hari.

“Ini termasuk memberi autonomi segera kepada Sabah dan Sarawak serta mengotakan janji untuk menambah 15 peratus royalti minyak kepada dua negeri berkenaan termasuk Kelantan dan Terengganu.

“Pastinya, pakar-pakar ekonomi yang dilantik akan mampu mencari jalan untuk mengotakan semua janji-janji ini. Justeru, kami ucapkan selamat maju jaya kepada kerajaan Harapan dan berharap mereka bekerja keras untuk memakmurkan negara serta menjaga kepentingan rakyat,” katanya.