Tutup

Mahathir ke China: KL-Beijing perkukuh hubungan

Mahathir ke China: KL-Beijing perkukuh hubungan
Dr Mahathir bakal memulakan lawatan di Hangzhou selama dua hari sebelum ke Beijing.
HANGZHOU: Hubungan Malaysia-China bakal diperkukuh dengan lawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang dijadual tiba di sini esok.

Lawatan itu dilihat bakal memacu hubungan kedua-dua buah negara ini di masa hadapan terutamanya dalam bidang politik, perdagangan, pelaburan, pertanian, teknologi dan keselamatan serantau.

Memetik kenyataan media yang dikeluarkan Kementerian Luar, Dr Mahathir bakal memulakan lawatan di Hangzhou selama dua hari sebelum ke Beijing.

“Perdana Menteri dijadualkan bertemu dengan pemimpin tempatan serta mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Korporat Kumpulan Alibaba dan Kumpulan Zhejiang Geely Holding.
“Manakala di Beijing, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Li Keqiang dan Presiden Republik Rakyat China Xi Jinping untuk membincangkan isu-isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama,” memetik kenyataan media Kementerian Luar yang dikeluarkan hari ini.

Malah, Dr Mahathir dan Li akan turut menyaksikan pemeteraian tiga Memorandum Persefahaman (MoU) sebagai tanda pengukuhan kerjasama strategik di antara Kuala Lumpur dan Beijing yang meliputi bidang pertanian dan agrikomoditi.
Selain mesyuarat rasmi, Dr Mahathir akan turut mengadakan sesi dialog bersama usahawan terkemuka dan bakal pelabur dari China selain menghadiri majlis makan malam bersama rakyat Malaysia.

Selama sembilan tahun berturut-turut, China merupakan rakan dagang utama buat Malaysia di mana pada 2017, jumlah dagangan dua hala antara Malaysia dan China mencecah RM290.65 bilion.

Dalam rangka lawatan atas jemputan rakan sejawatnya itu, Dr Mahathir akan ditemani isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali selain beberapa menteri kabinet lain seperti Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah; Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ignatius Darell Leiking; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Liew Vui Keong; Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Md. Yusof termasuk Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu serta pegawai kanan Kerajaan.

Lawatan ini merupakan lawatan pertama beliau ke China sejak menyandang jawatan tersebut pada Mei 2018.

Dr Mahathir telah mengadakan lawatan ke China sebanyak tujuh kali sepanjang tempoh perkhidmatan beliau sebagai Perdana Menteri Malaysia keempat dari tahun 1981 hingga 2003.