Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan memperoleh kembali momentum jumlah penumpang susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) membolehkan perjalanan dan pelancongan domestik dilakukan.

Pengendali lapangan terbang itu berkata sejak dua hari lepas, ia menyaksikan pergerakan penerbangan yang ditawarkan syarikat penerbangan tempatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) meningkat secara beransur-ansur dengan purata penerbangan harian bertambah 15 peratus kepada 122 daripada 97 penerbangan.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata ini merupakan perkembangan memberangsangkan bagi industri perjalanan udara.

Beliau berkata corak serupa turut dilihat di lapangan terbang antarabangsa dan domestik lain di seluruh negara selain pergerakan penumpang meningkat tiga kali ganda sejak beberapa hari lepas apabila kawalan pergerakan dilonggarkan.

"Komuniti lapangan terbang, termasuk rakan syarikat penerbangan dan peruncit kami, berkongsi keyakinan yang sama bahawa pelonggaran sekatan pergerakan tidak hanya dilaksanakan di Malaysia malah negara lain di seluruh dunia.

"Kami menyambut baik langkah Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan untuk merancakkan kembali pelancongan domestik dengan melancarkan pelan pemulihan Cuti-Cuti Malaysia dan kami juga menantikan saat sempadan antarabangsa dibuka semula," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata MAHB telah menyaksikan beberapa negara seperti Singapura, China, New Zealand dan Australia melaksanakan 'travel bubble' (gelembung perjalanan) atau koridor perjalanan selamat antara mereka.

"Kita mengharapkan Malaysia juga akan dapat melihat ini berlaku tidak lama lagi," katanya.

Gelembung perjalanan merupakan usaha menghubungkan semula negara-negara atau negeri-negeri yang telah mencapai tahap kejayaan yang baik dalam membendung wabak COVID-19 di peringkat domestik.

Pendekatan ini membenarkan kumpulan negara atau negeri menawarkan semula hubungan perdagangan antara satu sama lain, serta memulakan kembali sektor seperti pelancongan dan perjalanan.

Tiga syarikat penerbangan utama Malaysia -- Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air -- telah membuka semula laluan penerbangan tempatan dan giat memberi tawaran untuk menarik minat rakyat Malaysia bercuti dan mengalami perjalanan tempatan selepas tiga bulan berada di rumah.

MAHB berkata ini sebagai tambahan kepada pelaksanaan protokol keselamatan perjalanan yang dipertingkatkan di lapangan terbang dan penerbangan untuk memberi jaminan kepada penumpang bahawa kesejahteraan mereka akan dilindungi.

-- BERNAMA