Satu pertemuan di antara Kementerian Pendidikan dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom akan diadakan selepas 1 Mei ini untuk membincangkan isu pendaftaran sekolah agama dan madrasah persendirian di negara ini.

Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, ia usaha mengelakkan kes seperti kematian pelajar madrasah tahfiz swasta, Mohamad Thaqif Amin Mohd. Gaddafi, 11 tahun, baru-baru ini berulang.

Katanya, perbincangan meliputi isu sekolah serta madrasah berkenaan yang akan diletakkan di bawah Jabatan Agama Islam Malaysia (JAKIM).

"Saya ingat elok selepas cuti 1 Mei ini saya akan duduk dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan bincang bagaimana untuk mempercepatkan pendaftaran sekolah ini selepas banyak kes yang berlaku.

"Kita tidak tahu benda sebenar berlaku, kita tidak dapat laporan penuh, kita baca di surat khabar sahaja," katanya semasa sidang media selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada Sabtu.


BACA: Hentikan provokasi negatif terhadap pusat tahfiz

BACA:
Kes madrasah tahfiz: 107 pelajar, 14 kakitangan jalani pemeriksaan kesihatan

Turut hadir Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Khair Mohamad Yusof dan Pengerusi Dewan Industri Buku Malaysia (MBIC), Ishak Hamzah.

PBAKL kali ini disertai oleh 304 pempamer iaitu 276 pempaper tempatan dan 28 pempamer antarabangsa yang mengisi tujuh ruang dewan pameran dan tujuh buah bilik kecil.

Mohamad Thaqif yang dipotong kedua-dua kaki hingga paras paha akibat dijangkiti kuman setelah dipercayai didera oleh pembantu warden madrasahnya meninggal dunia pada kira-kira 2 petang Rabu lepas di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Sebelum ini, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Pendidikan dan Penerangan Johor Datuk Ayub Rahmat memberitahu, Jabatan Kesihatan telah memeriksa sejumlah pelajar di madrasah berkenaan bagi memastikan tiada mereka yang mengalami simptom sama seperti Mohamad Thaqif.

Pemeriksaan itu diadakan susulan titah Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Almarhum Sultan Idris Shah yang mahukan pelajar lain menjalani pemeriksaan kesihatan.

Dalam perkembangan berkaitan, Mahdzir menjelaskan hukuman rotan merupakan satu kehendak masyarakat sendiri selain khidmat kaunseling di sekolah.

Katanya, kementeriannya sentiasa berusaha memberi kepuasan kepada ibu bapa terhadap kualiti pendidikan negara termasuk isu hukuman rotan.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohamad Ali Hasan mahu garis panduan pelaksanaan hukuman rotan dikaji semula.

Cadangan itu dikeluarkan susulan insiden kecederaan pada bahagian kaki Allahyarham Mohamad Thaqif yang dipercayai akibat dipukul oleh pembantu warden sekolahnya.