Bekas menteri pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid sekali lagi hadir untuk menyambung memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya, hari ini.

Naib Presiden UMNO itu tiba pada jam 9.15 pagi dengan menaiki Honda Jazz berwarna putih bagi meneruskan prosiding siasatan berhubung projek sistem solar sekolah luar bandar di Sarawak.

Semalam, Ahli Parlimen Padang Terap itu hadir memberi keterangan berhubung kes yang sama selama lapan jam di SPRM.

Beliau dipanggil untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek bersepadu sistem solar photovoltaic, PV hibrid dan penyelenggaraan dan operasi genset diesel bagi sekolah di Sarawak.

Sebelum ini, media melaporkan Mahdzir bersama seorang ahli perniagaan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung siasatan projek berkenaan.

BACA: Mahdzir Khalid beri keterangan kepada SPRM

Difahamkan, Mahdzir dan individu terbabit akan didakwa mengikut Seksyen 16(a)(a) Akta SPRM 2009 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi.

Pada 9 Julai lalu, bekas pegawai khas kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak ditahan SPRM sebelum direman enam hari bagi membantu siasatan berkaitan kes sama.

Beliau keluar jam 12.30 tengahari dengan menaiki kereta Toyota Vellfire bernombor pendaftaran WB 58 E.