Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mahfodz Mohamed dilantik sebagai Ketua Kluster Dakwah Majlis Perundingan Islam (MPI).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan pelantikan itu semasa berucap merasmikan Multaqa Kluster Ekonomi Majlis Perundingan Islam, dengan penghargaan kepada Datuk Dr Haron Din yang mengetuai Kluster Dakwah sebelum ini.

"Kluster dakwah kehilangan seorang tokoh yang cukup hebat. Pada hemat saya, jawatan tersebut amat penting kerana platform Majlis Perundingan ini adalah atas inisiatif memantapkan umat Islam di negara ini.

"Jadi, tokoh yang boleh menggantikan beliau ialah Datuk Mahfodz Mohamed," katanya di sini hari ini.

Jelasnya, Mahfodz merupakan individu paling tepat dalam memimpin Kluster Dakwah MPI untuk membawa ummah agar terus bersatu dengan mengenepikan kabilah politik, pandangan Islam serta latar belakang.

Mahfodz merupakan Ahli Majlis Syura Ulama PAS dan pernah menjawat jawatan sebagai Panel Mahkamah Rayuan Syariah Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, pada 1988-1996.

Beliau kini aktif dalam politik di samping merupakan Pengerusi dan Pengetua, Maahad Tahfiz Al-Muhammadi, Kundang Ulu, Muar, Johor