Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada Isnin memerintahkan vokalis kumpulan rock Wings, Awie, membayar nafkah perbelanjaaan RM4,000 sebulan kepada dua anaknya yang kini di bawah jagaan bekas isterinya, Rozana Misbun.

Hakim Che Saupi Che Husin membuat keputusan itu selepas mengambil kira afidavit dan keterangan yang dikemukakan Rozana selaku plaintif serta Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, selaku defendan dalam tuntutan nafkah dua anaknya.

Che Saupi memerintahkan RM3,000 dibayar termasuk perbelanjaan makan, minum, pakaian, pelajaran dan kesihatan manakala RM1,000 bagi perbelanjaan tempat tinggal Putra Ahmad Rezzki, 8, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.

"Wang nafkah tersebut perlu didepositkan ke dalam akaun dua kanak-kanak itu pada atau sebelum 5 hari bulan setiap bulan yang berkuat kuasa serta merta.

"Nafkah itu perlu dibayar oleh defendan bermula hari ini sehingga ada perintah lain yang mengubahnya," kata Che Saupi.

Mahkamah juga membenarkan tuntutan Rozana, 38, yang menuntut Awie, 48, menanggung sepenuhnya perbelanjaan persediaan persekolahan dan persediaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha setiap tahun bagi kedua-dua anak mereka.

"Namun mahkamah tidak menetapkan sebarang jumlah yang perlu dibayar bagi kos setiap sesi awal persekolahan kerana kos itut meningkat setiap tahun.

"Begitu juga bagi persiapan sambutan dua perayaan Aidilfitri dan Aidiladha, mahkamah juga tidak menetapkan sebarang jumlah kepada pihak defendan kerana ia bergantung kepada kemampuan ayah dua kanak-kanak itu," katanya.

Bagaimanapun mahkamah menolak permohonan Rozana yang mahu bekas suaminya menanggung bayaran pembantu rumah dan perbelanjaan pakaian setiap tiga bulan sekali bagi kedua-dua kanak-kanak itu.

Tuntutan dibuat Rozana mengikut Seksyen 73, Akta Undang-undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984.

Mahkamah mempertimbangkan jumlah nafkah sebanyak RM4,000 itu selepas mengambil kira kemampuan Awie yang mempunyai pendapatan sebanyak RM40,000 sebulan.

Keputusan itu berdasarkan keterangan daripada Awie dan saksi-saksinya yang merupakan pekerjanya.

Rozana yang juga adik kepada pelakon Haliza Misbun diwakili peguam syarie, Mohd Nor Apandi Dahari manakala Awie diwakili peguam syarie, Mohd Syafiq Norizan.

Rozana pada 5 Nov tahun lepas, menuntut perbelanjaan makan dan minum serta kelengkapan diri berjumlah RM3,000, kos tempat tinggal RM1,500 dan bayaran pembantu rumah untuk kedua-kedua kanak-kanak kecil itu.

Rozana juga menuntut RM2,000 setiap tiga bulan untuk pembelian pakaian, RM1,500 bagi perbelanjaan persiapan persekolahan dan RM3,000 untuk persiapan pakaian sempena perayaan.

Rozana bernikah dengan Awie di Songkhla, Thailand pada 20 Jun 2005 namun bercerai pada penghujung 2014 dan dikurniakan tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, dan Puteri Qasseh Antasha.

Awie juga pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar, seorang penyanyi, namun bercerai pada 16 Okt 2006 dan hasil perkahwinan itu, mereka mempunyai dua orang anak iaitu Putri Aleeya Antasha, 16, dan Putri Aleefa Antasha, 14.