Sebuah mahkamah khas untuk mengendalikan isu pemerdagangan manusia akan diwujudkan tahun ini, dimulakan dengan Klang, Selangor, kata Ketua Hakim Negara Tun Md Raus Sharif.

Projek perintis itu akan bermula pada Mei atau Jun manakala mahkamah sama di beberapa lokasi lain akan diwujudkan secara berperingkat, juga pada tahun ini, masing-masing di Ipoh, Melaka, Muar, Kota Kinabalu dan Balik Pulau, katanya.

Beliau berkata terdapat keperluan untuk mewujudkan mahkamah khas itu, yang akan dikendalikan oleh seorang hakim Mahkamah Sesyen, khusus untuk mendengar dan membuat keputusan kes berkaitan pemerdagangan manusia oleh kerana statistik menunjukkan peningkatan mendadak kes seperti itu.

"Kami mahu sebuah mahkamah khas untuk mengendalikan kes seperti ini sebab berdasarkan pengalaman kami, mahkamah khas boleh mengendalikan dengan lebih baik berbanding mahkamah biasa, dan mudah-mudahan, dapat menyelesaikan kes pemerdagangan manusia dengan lebih cepat.

"Ini disebabkan saksi akan berada dalam tahanan dan kami perlu mengendalikan perkara ini seberapa pantas yang boleh. Kami mesti menjalankan projek perintis dan belajar daripadanya sebelum menubuhkannya secara berperingkat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Tahun Kehakiman 2018 di sini hari ini.

Mengulas tentang Mahkamah Khas Jenayah Seksual Kanak-kanak, yang diwujudkan pada April tahun lepas berpusat di Putrajaya, Raus berkata garis masa setahun ditetapkan bagi melupuskan kes jenayah seksual kanak-kanak supaya kes berkenaan dapat diselesaikan dengan pantas dan cekap.

Beliau berkata Mahkamah Jenayah Seksual Kanak-kanak berjaya menyelesaikan 80.4 peratus (287 kes) daripada 357 kes dalam tahun pertama operasi, menepati garis masa yang ditetapkan, dengan 70 kes masih menunggu untuk didengar setakat 31 Dis.

"Kita mesti berlaku adil kepada mangsa. Kita seringkali memikirkan tentang tertuduh dan tidak pernah terlintas tentang mangsa. Itulah sebabnya kami mahu semua kes ini dilupuskan dalam masa setahun. Kes ini perlu disegerakan kerana kami mahu mendengar perkara yang berlaku berdasarkan pemikiran kanak-kanak ini semasa kes ini masih segar," katanya.

Raus berkata sebuah kompleks mahkamah baharu dijangka siap di Sabah pada Mac ini, akan turut menyediakan sebuah ruang khas untuk mendengar kes jenayah seksual kanak-kanak, di samping 12 mahkamah lain yang akan diwujudkan di seluruh negara secara berperingkat menjelang hujung tahun ini.

Diminta mengulas tentang ketidakhadiran Majlis Peguam pada majlis perasmian Tahun Kehakiman hari ini, Raus berkata Majlis Peguam bertegas untuk membangkitkan isu perlanjutan tempoh beliau memegang jawatan sebagai Ketua Hakim Negara dan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, dalam forum itu.

"Saya beritahu mereka (Majlis Peguam) adalah tidak sesuai untuk membangkitkan perkara ini oleh kerana ini merupakan kes mahkamah. Malah saya memberi penjelasan kepada mereka, jika Badan Peguam membangkitkan perkara itu, maka Peguam Negara (Tan Sri Apandi Ali) perlu memberi maklum balas.

"Ia sangat sukar bagi kami. Anda (Majlis Peguam) tidak boleh mengemukakan bantahan ini dalam forum umum seperti ini, dan memandangkan ia sudah menjadi kes mahkamah, maka mahkamah yang akan membuat keputusan," katanya.

Raus berkata beliau mengubah format tahun ini selepas Majlis Peguam menegaskan untuk membangkitkan perkara itu dalam forum berkenaan.

"Saya maklumkan kepada AG tidak ada keperluan untuk beliau berucap dan keadaan akan menjadi janggal memandangkan Badan Peguam tidak akan berucap," katanya.

Sejak 2010, Tahun Kehakiman, yang sebelum ini dikenali sebagai Tahun Perundangan, akan mendengar tiga ucapan, masing-masing oleh Majlis Peguam, Peguam Negara dan Ketua Hakim Negara, sama seperti yang diamalkan di United Kingdom.

Pelantikan Md Raus dan Zulkefli sebagai hakim tambahan Mahkamah Persekutuan selepas persaraan wajib adalah untuk membolehkan mereka memegang jawatan masing-masing sebagai Ketua Hakim Negara serta presiden Mahkamah Rayuan, dan perkara ini membangkitkan perdebatan dengan Majlis Peguam mencabar pelantikan itu di mahkamah.

-- BERNAMA