Mahkamah New Zealand hari ini menarik balik larangan untuk tidak mendedahkan identiti seorang suspek bertaraf diplomat yang didakwa terbabit dalam satu kes serangan seksual dan rompakan di negara itu.

Menurut The New Zealand Herald, Hakim Daerah Wellington pada Selasa menamakan suspek sebagai Mohammad Rizalman Bin Ismail seorang diplomat yang bertugas di Kedutaan Malaysia di Wellington.

Kebenaran itu dibuat selepas dicabar oleh pertubuhan media negara itu.

Dalam insiden 9 Mei itu, suspek dalam lingkungan 30-an didakwa telah mengekori seorang wanita berusia 21 tahun ke rumahnya sebelum melakukan serangan seksual.

Suspek terbabit dikatakan hadir buat kali pertama di Mahkamah Daerah Wellington pada 10 Mei lalu namun tiada media yang hadir ketika pembicaraan untuk membuat liputan.

Akhbar di New Zealand dihalang daripada mendedahkan nama pesalah atau negara asal beliau selepas seorang hakim New Zealand pada 30 Mei mengeluarkan perintah larangan "suppression order" bagi mengelakkan identiti lelaki didedahkan.

Laporan itu turut berkata Kementerian Luar New Zealand secara rasmi telah meminta negara terbabit untuk mengetepikan kekebalan diplomatik (diplomatic immunity) tetapi permohonan itu dikatakan telah ditolak.