Mahkamah Persekutuan membuat keputusan penting hari ini dengan membatalkan satu peruntukan dalam Akta Pengambilan Tanah 1960 yang memberikan hak kepada penilai-penilai untuk memutuskan jumlah pampasan patut diberikan dalam perkara berkaitan pengambilan tanah di mahkamah.

Panel lima hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin memutuskan Seksyen 40D akta itu adalah ultra vires atau di luar bidang kuasa Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Mahkmah Persekutuan Tan Sri Zainun Ali yang menyampaikan penghakiman setebal 87 muka surat itu, berkata, seksyen itu malah telah mengambil alih kuasa kehakiman mahkamah yang termaktub di bawah Perkara 121 (1) Perlembagaan Persekutuan dalam memutuskan jumlah munasabah bagi pampasan.

"Kuasa kehakiman untuk memberikan pampasan yang telah diambil alih oleh hakim Mahkamah Tinggi daripada penilai-penilai adalah melanggar Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Seksyen 40D menetapkan hakim bertanggungjawab menerima pakai pendapat dua penilai atau memilih untuk bersetuju dengan keputusan seorang daripadanya jika keputusan mereka berbeza antara satu sama lain dari segi jumlah pampasan munasabah susulan pengambilan tanah, telah merampas kuasa mahkamah dalam membenarkan seseorang selain daripada hakim untuk membuat keputusan.

Pindaan Seksyen 40D Akta Pengambilan Tanah yang berkuat kuasa pada 1998 memberi kuasa kepada dua penilai yang bersidang bersama-sama hakim Mahkamah Tinggi untuk membuat penentuan muktamad berhubung jumlah pampasan yang kemudiannya tidak lagi boleh dirayu.

Hakim Zainun berkata hakim boleh menimbangkan pendapat penilai-penilai tetapi tidak terikat dengan pendapat mereka dan bebas untuk tidak bersetuju dengan pendapat penilai dan membuat keputusan secara sendirian berhubung jumlah pampasan munasabah perlu diberikan.

Beliau berkata hakim secara sendirian menentukan dari segi jumlah pampasan dan dengan itu kesucian kuasa kehakiman terpelihara.

Hakim Zainun bagaimanapun berkata Seksyen 40D (3) akta itu yang melarang rayuan dibawa ke Mahkamah Rayuan berhubung jumlah pampasan diputuskan oleh Mahkamah Tinggi tidak menyebabkan seksyen itu tidak sah.

Beliau juga berkata penghakiman itu akan mengikat kes-kes mahkamah yang masih menunggu untuk penyelesaian dan kes di masa depan berhubung jumlah pampasan diberikan bagi pengambilan tanah yang dipertikaikan tetapi tidak membabitkan kes yang telah diputuskan oleh mahkamah.

Keputusan itu dibuat terhadap dua kes melibatkan Semenyih Jaya Sdn Bhd terhadap Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat dan Amitabha Guha, Parul Rani Paul terhadap Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat.

Hakim Zainun membenarkan rayuan syarikat pemaju Semenyih Jaya Sdn Bhd terhadap Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat berhubung pampasan rendah ditawarkan kepada syarikat itu selepas tanahnya diambil bagi pembinaan lebuh raya di Kajang pada 1998.

Pemaju itu sedang membangunkan 57 lot kilang semasa tanah itu diambil, tetapi semasa inkuiri, syarikat itu hanya diberikan RM20.8 juta tanpa mengambil kira kerugian keuntungan. Semenyih Jaya berkata RM45 juta merupakan jumlah yang adil.

Panel hakim berkenaan hari ini memerintahkan kes Semenyih Jaya dikembalikan semula kepada hakim Mahkamah Tinggi yang akan menimbangkan pendapat penilai-penilai tetapi bebas untuk membuat keputusannya.

Panel itu turut mengembalikan semula kes membabitkan Amitabha Guha, Parul Rani Paul terhadap Pentadbir Tanah Daerah Hulu Langat ke Mahkamah Rayuan.

Turut bersidang dalam panel itu ialah tiga hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri Hasan Lah, Tan Sri Abu Samah Nordin dan Tan Sri Zaharah Ibrahim. -- BERNAMA