Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk mencelah dalam kes rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan samannya terhadap kerajaan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Hakim Datuk Vernon Ong Lam Kiat yang mengetuai panel tiga hakim, berkata ia boleh menjejaskan Muhammad Shafee kerana intipati tuntutan dalam saman pemula Anwar adalah mengenai dakwaan bayaran RM9.5 juta kepada beliau (Muhammad Shafee).

"Ia jelas tidak hanya Muhammad Shafee dijadikan parti dalam permohonan penzahiran (dokumen) di Mahkamah Tinggi, beliau juga memfailkan permohonan untuk membatalkan dan menghadiri dua kali prosiding di Mahkamah Tinggi. Muhammad Shafee harus diberi kebenaran untuk mencelah dalam rayuan ini," katanya.

Ong bagimanapun menolak permohonan (Muhammad Shafee) untuk memadamkan afidavit yang disediakan oleh Pegawai Tugas Khas Peguam Negara, Siti Rahayu Mohd Mumazaini, dan untuk memeriksa balasnya.

Panel itu turut dianggotai Hakim Datuk Mary Lim Thiam Suan dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Muhammad Shafee memohon untuk mencelah dalam rayuan itu selepas afidavit yang disahkan Siti Rahayu yang menyatakan maklumat baharu didapati bahawa RM9.5 juta telah dibayar kepada Muhammad Shafee daripada akaun bank bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak antara 2013 dan 2014.

Anwar, yang merupakan Presiden PKR memfailkan saman pemula pada 9 Jun 2017 terhadap kerajaan mendakwa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi kes liwat kedua.

Beliau memohon pengisytiharan bahawa sabitannya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah batal dan tidak sah dan beliau juga memohon untuk membatalkan keputusan Mahkamah Persekutuan yang telah mengekalkan sabitannya.

Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa Muhammad Shafee menerima RM9.5 juta daripada Najib untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Anwar, bagaimanapun diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun ini.

Saman pemula beliau dibatalkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 8 Nov tahun lepas yang membenarkan permohonan kerajaan atas alasan ia remeh-temeh dan tiada sebab untuk tindakan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Peguam Harvinderjit Singh mewakili Muhammad Shafee, Anwar diwakili peguam Datuk Gopal Sri Ram manakala Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh mewakili kerajaan. -- Bernama