Mahkamah Rayuan telah mengekalkan sabitan kesalahan menghasut mendiang peguam Karpal Singh, dua tahun selepas kematiannya.

Walau bagaimanapun, Hakim Datuk Mohtarudin Baki mempertimbangkan rayuan untuk hukuman diringankan dan mengetepikan denda RM4,000 yang dikenakan sebelum ini dan menggantikannya dengan denda RM1,800 atau dua bulan penjara.

Ini bermakna bahawa mendiang tidak akan hilang kelayakan sebagai ahli Parlimen jika masih hidup dan yang balunya berhak mendapat pencennya.

Pada 21 Februari 2014, Karpal Singh didapati bersalah bagi tuduhan menghasut dan didenda RM4,000 oleh Mahkamah Tinggi kerana mempersoalkan tindakan Sultan Perak menyingkirkan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak pada 2009.

Karpal Singh merupakan Anggota Parlimen Bukit Gelugor semasa terbunuh dalam kemalangan di Labuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung, Perak, pada 17 April 2014. Mendiang berusia 73 tahun.