Mahkamah Rayuan pada Isnin menolak notis rayuan yang difailkan oleh Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam kes saman yang beliau diperintahkan untuk membayar ganti rugi am RM150,000 kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Panel tiga anggota Mahkamah Rayuan yang disidangi oleh Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, Puan Sri Zaleha Yusof dan Datuk Zabariah Mohd Yusof dengan sebulat suara membenarkan permohonan Anwar untuk membatalkan notis rayuan.

Tengku Maimun yang mempengerusikan panel itu berkata terdapat beberapa kekaburan dalam notis rayuan.

"Selepas membaca dengan teliti notis rayuan, kami mendapati terdapat beberapa kekaburan sama ada perayu (Khairy) merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya (Khairy) untuk meminda kenyataan pembelaannya," kata hakim.

Beliau berkata notis rayuan menyatakan bahawa Khairy tidak berpuas hati dengan keseluruhan keputusan Mahkamah Tinggi tetapi tidak menyebut bahawa beliau juga merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya (Khairy) untuk meminda kenyataan pembelaan.

Tengku Maimun berkata tiada keraguan bahawa terdapat dua perintah berasingan yang dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi iaitu berkaitan keputusan Mahkamah Tinggi memerintahkan pembayaran ganti rugi dan juga keputusan menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaan.

Beliau berkata perkara ini tidak mengikuti prinsip yang terpakai oleh Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan A. Santamil Selvi lwn J. Deepak apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa ia adalah mandatori bagi notis rayuan dikemukakan berasingan jika terdapat keputusan berbeza berhubung perintah yang dibuat oleh mahkamah.

Beliau memerintahkan Khairy membayar kos sebanyak RM10,000 dan juga menolak permohonan peguam Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Khairy untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan bagi kebenaran untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan.

Berikutan keputusan ini, keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Sept, 2017 yang memerintahkan Khairy membayar ganti rugi am berjumlah RM150,000 kepada Anwar kerana dikatakan menuturkan kata-kata yang berbaur fitnah ke atasnya (Anwar) semasa ceramah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur pada 2008, kekal.

Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya untuk memasukkan bahawa kenyataannya adalah berupa komen yang adil.

Bekas ketua pembangkang itu menyaman Khairy pada 7 Mac, 2008 dengan mendakwa bahawa Khairy, yang ketika itu naib ketua Pemuda UMNO telah menuturkan perkataan fitnah terhadapnya (Anwar) dan menyebabkan klip video bertajuk "Anwar and kin no threat" disiarkan dalam portal berita temasuk Malaysiakini.com.

Anwar mendakwa bahawa klip video itu mengandungi sebahagian daripada ucapan fitnah yang dibuat oleh Khairy semasa ceramah di Lembah Pantai pada atau sekitar 20 Feb, 2008.

Semasa prosiding, peguam R. Sivarasa yang mewakili Anwar berhujah bahawa notis rayuan yang difailkan oleh Khairy mempunyai kecacatan kerana terdapat permohonan berasingan, dengan itu, notis rayuan yang berasingan harus dikemukakan.

Peguam Muhammad Shafee berhujah bahawa notis rayuan yang berasingan tidak perlu dikemukakan dalam kes ini kerana ia melibatkan perayu dan responden yang sama.

Selepas mahkamah menyampaikan keputusan, Sivarasa memberitahu pemberita bahawa berikutan keputusan mahkamah menolak notis rayuan, ini bermakna tiada rayuan untuk didengar oleh mahkamah.

Sementara itu, Muhammad Shafee berkata beliau terkejut dengan keputusan mahkamah dan akan memfailkan rayuan hari ini (Selasa) bagi kebenaran untuk merayu dan memohon perintah bagi menangguhkan pelaksanaan keputusan itu.

-- BERNAMA