Samirah Muzaffar yang menghadapi pertuduhan membunuh suaminya, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund Sdn Bhd (Cradle Fund) Nazrin Hassan, gagal sekali lagi untuk dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan.

Permohonan beliau untuk dilepaskan dengan jaminan sementara menunggu perbicaraan pada 3 Sept ini, telah sebulat suara ditolak panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang terdiri daripada Datuk Kamardin Hashim, Datuk Rhodzariah Bujang dan Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah.

"Kami tidak yakin bahawa yang arif hakim (Hakim Mahkamah Tinggi) telah melakukan kesilapan dalam menjalankan budi bicaranya untuk tidak membenarkan jaminan. Oleh itu, notis usul ditolak," kata Kamardin yang mengetuai panel hakim berkenaan.

Samirah, 44, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO); dua remaja berusia 14 dan 17; dan seorang warganegara Indonesia Eka Wahyu Lestari, yang kini masih bebas, dituduh membunuh Nazrin, 47.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di Mutiara Homes, dekat sini, antara 11.30 malam pada 13 Jun 2018, dan 4 pagi pada 14 Jun 2018.

Pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu yang dibaca bersama Seksyen 34 akta yang sama, memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan itu.

Pada 27 Mac, kedua-dua remaja lelaki itu dibenarkan diikat jamin masing-masing RM50,000 dengan dua penjamin.

Sementara itu, Samirah memfailkan permohonan ikat jamin yang baharu di Mahkamah Rayuan selepas permohonan ikat jaminnya yang pertama ditolak oleh Mahkamah Tinggi 11 April lepas.

Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah memaklumkan mahkamah bahawa beliau akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan dan memohon mahkamah menulis penghakiman.

BACA: Mahkamah tolak permohonan ikat jamin balu CEO Cradle Fund

Terdahulu , mahkamah mendengar hujah Timbalan Pendakwa Raya Datuk Jamil Aripin bahawa jika Samirah diberikan jaminan, ia mungkin prejudis kepada kes pendakwaan kerana berkemungkinan menganggu saksi.

Mahkamah mendengar permohonan berkenaan pada 26 April dan disambung semula pada Jumaat.

Jamil juga menolak hujah Shafee bahawa tiada motif pembunuhan Nazrin dan menambah bahawa pendakwaan akan mengemukakan bukti semasa perbicaraan untuk menunjukkan adanya motif.

Muhammad Shafee berhujah bahawa terdapat keadaan khas untuk membenarkan Samirah diikat jamin dan mahkamah boleh menjalankan budi bicaranya untuk berbuat demikian bagi kesalahan yang serius.

-- BERNAMA