Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak rayuan dikemukakan oleh 39 pemilik strata dan penyewa Pusat Beli-Belah Ampang Park berhubung pengambilan tanah bagi projek stesen Mass Rapid Transit Lembah Klang (MRT) Ampang Park.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Abang Iskandar Abang Hashim mengekalkan keputusan dibuat Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 30 Jun tahun lepas berikutan rayuan itu tidak mempunyai merit.

"Selepas mempertimbangkan hujahan peguam, kami berpandangan bahawa tiada merit dalam hujahan para perayu (pemilik strata dan penyewa), alasannya kekal iaitu walaupun laluan MRT akan dibina di bawah tanah namun kerja pada keseluruhannya masih perlu dilaksanakan di permukaan tanah," kata beliau dalam penghakimannya.

Kesemua 39 pemilik strata berkenaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka bagi semakan untuk mencabar bahawa pengambilan tanah itu dibuat mengikut undang-undang ditetapkan.

Hakim Abang Iskandar juga berkata mahkamah tidak melihat wujudnya sebarang mala-fide atau niat jahat di pihak pembuat keputusan dalam membuat keputusannya bahawa pengambilan hartanah perayu adalah perlu dilakukan.

"Dengan ini kami merumuskan bahawa, selepas mempertimbangkan hujahan peguam kedua-dua pihak, kami sebulat suara berpendapat tiada merit dalam hujahan dikemukakan para perayu berhubung isu yang dibangkitkan oleh mereka," katanya.

Hakim Abang Iskandar berkata pengambilan hartanah para perayu mengikut geran strata masing-masing telah dilakukan mengikut undang-undang, hak asasi perlembagaan ke atas hartanah itu seperti termaktub di bawah (undang-undang) tidak dilanggar oleh para responden.

Berikutan itu, beliau memerintahkan kesemua pemilik strata dan penyewa membayar kos berjumlah RM70,000 kepada para responden, -- RM30,000 kepada Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan dan RM40,000 kepada MRT Corp.

Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, mewakili Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan dan Pentadbir Tanah Wilayah Persekutuan manakala peguam Robert Lazar mewakili MRT Corp.

Peguam Datuk Zainur Zakaria, Datuk Edward Ng Boon Seong, Jason Ng Kau dan Adnan Seman mewakili 39 pemilik strata dan penyewa Pusat Beli-Belah Ampang Park.

Pemilik premis perniagaan di Pusat Beli-Belah Ampang Park yang memfailkan permohonan itu pada 8 Jan 2016, turut menamakan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan Malaysia sebagai responden.

Bagaimanapun, pada 20 Jan, kumpulan itu menggugurkan Kementerian Wilayah Persekutuan dan kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonan semakan kehakiman itu.

Mereka memohon disiytiharkan bahawa Borang D, bertarikh 17 Ogos, 2015, dan Borang E, bertarikh 22 Okt, 2015, di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960 dikeluarkan oleh para responden adalah tidak berperlembagaan, menyalahi undang-undang, batal dan tidak sah.

Pada 18 April 2016, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan MRT untuk menjadi pencelah dalam permohonan itu dan dinamakan sebagai responden.-- Bernama