Mahkamah Rayuan menolak tiga daripada empat permohonan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan perbicaraan kes SRC International.

Portal Malaysiakini melaporkan Hakim Zabariah Mohd Yusof yang mengetuai panel tiga hakim bersama-sama Lau Bee Alan dan Rhodzariah Bujang hanya membenarkan permohonan Najib yang menuntut pihak pendakwaan menunjukkan surat lantikan peguam Sulaiman Abdullah sebagai pendakwa raya.

Mahkamah memberi masa tiga hari kepada Pejabat Peguam Negara untuk memberikan surat itu kepada pasukan peguam Najib.

Hakim Zabariah berkata, panel tiga hakim sebulat suara membuat keputusan untuk empat permohonan itu.

Tiga permohonan lagi adalah untuk perintah bagi menghalang perbincangan awam tentang perbicaraan, penyerahan dokumen daripada pendakwaan, dan arahan pembatalan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali untuk membenarkan AGC menarik balik sijil kebenaran untuk memindahkan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam Najib memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka akan memfailkan rayuan berhubung keputusan tiga permohonan tersebut di Mahkamah Persekutuan.

Timbalan pendakwa raya V Sithambaram kemudian memberitahu pemberita AGC juga berhasrat membuat rayuan berhubung keputusan mahkamah berkenaan surat pelantikan Sulaiman.

Shafee juga meminta arahan penangguhan perbicaraan sementara menunggu rayuan dibuat di Mahkamah Persekutuan.

Peguam Negara Tommy Thomas membantah perkara itu dengan berkata pendakwaan mahu memulakan perbicaraan secepat mungkin.