Mahkamah Tinggi Kuching hari ini telah mengarahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan semula proses persempadanan negeri Sarawak kerana draf pertama dan kawasan yang terlibat tidak mempunyai butiran yang lengkap.

The Malaysian Insider melaporkan bahawa Hakim Datuk Yew Jen Kie dalam penghakimannya berkata terdapat kekurangan maklumat yang penting dalam notis bertarikh 5 Januari bagi orang ramai yang terlibat untuk membuat keputusan.

Beliau berkata SPR sepatutnya menerbitkan daftar pemilih, senarai perubahan yang dicadangkan dan kawasan yang terjejas.

Ini adalah penting supaya orang ramai akan tahu bagaimana mereka akan terjejas oleh proses persempadanan semula itu, tambah beliau.

Dengan keputusan ini, SPR perlu melalukan semula proses persempadanan sekali lagi.

SPR mula mempamerkan syor jumlah Bahagian-Bahagian Pilihan Raya Negeri bagi Sarawak yang ditambah itu pada 5 Januari lepas hingga 4 Februari di beberapa tempat di negeri itu.

Berikutan persempadanan semula itu, Dun Sarawak kini bertambah dari 71 kerusi kepada 82.

Sebelas kawasan baharu DUN yang disyorkan itu ialah N.13 Batu Kitang, N.17 Stakan, N.18 Serembu, N.23 Triboh, N.26 Gedong, N.40 Kabong, N.57 Tellian, N.63 Selirik, N.66 Murum, N.70 Samalaju dan N.78 Long Lama.