Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak permohonan polis untuk mendapatkan perintah tahanan reman terhadap sembilan suspek yang ditahan berhubung kes pembunuhan Balingian.

Majistret Zuriani Ali Musa menolak permohonan reman yang dikemukakan ASP Lee Chee Keat atas alasan kesemua sembilan suspek itu boleh membantu dalam siasatan yang sedang dijalankan.

Sembilan suspek itu, berumur antara 19 dan 45 tahun, menyerah diri di balai polis Miri semalam. Mereka diwakili peguam Ranbhir Singh Sangha.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak Datuk Dev Kumar berkata pada masa ini, 22 suspek berada dalam tahanan polis bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Pasukan penyiasatan mengejar masa untuk merekodkan kenyataan, mengadakan kawad cam dan merampas lebih banyak bahan bukti berkaitan kes itu, katanya.

Mengenai permohonan reman, beliau berkata ia perlu kerana masa diperlukan bagi pasukan penyiasatan mengiringi suspek ke Mukah untuk disoal siasat.

"Kesemua sembilan suspek dari Miri ini adalah penting untuk merungkai perkara sebenar yang berlaku di sekatan (yang didirikan di lokasi kejadian)," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata permohonan itu ditolak oleh Mahkamah Majistret di sini dan suspek dibebaskan.

"Ini kali kedua tahun ini Mahkamah Majistret menolak permohonan kami untuk mendapatkan tahanan reman dalam kes membabitkan kepentingan awam, kali pertama semasa siasatan kes pembunuhan Bill Kayong," katanya.

Pada 24 Okt lepas, sekumpulan lelaki merempuh sekatan yang didirikan di pintu masuk sebuah ladang sawit dan mengakibatkan kematian Fabian Janti Lebau, 26.

Mayat mangsa dijumpai polis dalam keadaan tertiarap dengan tangannya memegang sebilah parang.

Sekatan itu dikatakan didirikan di situ sejak 4 Okt berikutan desakan beberapa penduduk dari rumah panjang di kawasan berkenaan untuk mendapatkan lebih banyak pampasan daripada syarikat pemilik ladang itu. -- BERNAMA