Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman dan sebuah syarikat percetakan gagal dalam rayuan mereka untuk mengubah keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintah mereka membayar ganti rugi RM350,000 kepada Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) kerana memfitnah.

Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Datuk Dr Hamid Sultan Abu Backer sebulat suara menolak rayuan Mazlan dan memerintahkannya membayar kos RM10,000.

Dua lagi hakim ialah Datuk Zamani A. Rahim dan Datuk Hasnah Mohammed Hashim.

Hasnah, yang menyampaikan keputusan penghakiman, berkata hakim Mahkamah Tinggi telah mengamalkan prinsip betul apabila beliau mendapati tidak terdapat persetujuan secara muktamad antara pihak yang terlibat dalam saman itu untuk direkodkan sebagai penghakiman persetujuan.

Kata beliau, oleh kerana ia merupakan surat 'tanpa prejudis' yang dihantar kepada Felda, maka rundingan masih terbuka dan pihak terlibat masih bebas untuk berbincang tentang penyelesaian atau meneruskan perbicaraan.

"Undang-undang secara jelas menyebut bahawa surat yang ditulis 'tanpa prejudis' tidak boleh diterima sebagai bukti bahawa rundingan telah cuba diadakan," katanya, dan menambah bahawa pada 10 Dis 2014, pihak terlibat, melalui peguam cara masing-masing, telah mencuba untuk menyelesaikan pertikaian antara mereka dan terdapat surat menyurat antara peguam cara kedua-dua pihak.

Hasnah berkata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Su Geok Yiam mengendalikan perbicaraan dalam perbicaraan untuk menentukan sama ada terdapat persetujuan secara muktamad antara kedua-dua pihak bagi merekodkan penghakiman persetujuan berdasarkan surat bertarikh 12 Dis 2014.

Katanya, hakim Mahkamah Tinggi telah meneliti surat berkenaan dan mendapati tidak wujud persetujuan secara muktamad antara pihak berkenaan dan penyelesaian tidak dicapai kerana pengerusi Felda tidak bersetuju dengan syarat penyelesaian yang dicadangkan.

Pada 29 Mei tahun lepas, Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan tuntutan Felda dan memerintahkan Mazlan dan Angkatan Edaran Enterprise Sdn Bhd membayar kepada Felda RM350,000 sebagai ganti rugi am dan ganti rugi teruk.

Felda menyaman Mazlan, 50, dan Angkatan Edaran Enterprise kerana memfitnahnya melalui sebuah buku yang diterbitkan pada 2008, dengan mendakwa kandungan buku itu berniat jahat serta bertujuan merosakkan nama baik dan imejnya di mata orang ramai.

Dalam kenyataan bela dirinya yang difailkan pada 14 Sept 2009, Mazlan berkata sebagai anak peneroka, dia mempunyai kepentingan dalam mendedahkan sebarang salah laku atau kesalahan dalam operasi dan pentadbiran Felda, manakala rakyat, khususnya peneroka di negara ini, turut berminat untuk mengetahuinya.

Peguam yang mewakili perayu, Nasar Khan Mirbas Khan, memberitahu pemberita bahawa mereka akan membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan. Felda diwakili peguam Wan Azmir Wan Majid dan Norhazira Abu Haiyan.

-- BERNAMA