Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) menyasarkan peningkatan ketara hasil kutipan zakat atas talian selepas pengenalan aplikasi Mymaik E-Zakat Payment.

Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, sasaran penggunaan aplikasi tersebut adalah golongan muda dan mereka yang sentiasa berdepan kekangan masa kerana urusan harian.

"Kumpulan sasaran kami adalah semua pihak, terutama sekali golongan muda. Dan ini merupakan satu pendekatan dakwah.

"Kita liha sekarang ini golongan muda menunjukkan tabiat yang suka mengamalkan agama Islam dan apabila MAIK menyediakan kemudahan membayar zakat melalui telefon pintar, ia akan memudahkan mereka menunaikan rukun Islam kelima," katanya selepas majlis pelancaran aplikasi tersebut di Kompleks Balai Islam, Kota Bharu pada Selasa.

Tambahnya aplikasi yang dibangunkan warga MAIK sendiri itu, menggunakan platform terkini yang dijamin selamat kerana segala transaksi adalah melalui FPX dan MIGS Gateway.

Dalam perkembangan lain, Nik Mohd berkata, MAIK berjaya mengutip zakat perniagaan lebih RM112 juta sehingga Ahad lepas.

Daripada jumlah itu, 49.1 peratus dibelanjakan bagi keperluan fakir dan miskin.