Kementerian Sumber Manusia amat menggalakkan semua majikan, terutama yang beroperasi di zon merah dan kuning COVID-19 supaya memastikan pekerja mereka menjalani saringan COVID-19.

Ini berikutan sektor ekonomi mula beroperasi secara terkawal tertakluk kepada syarat dan prosedur yang ketat di bawah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai Isnin.

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan dalam kenyataan pada Ahad berkata ujian COVID-19 untuk pekerja dilaksanakan di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) dan disediakan secara percuma oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

"PSP Perkeso meningkatkan jaminan kepada pekerja bahawa mereka bekerja di persekitaran kerja yang selamat dan sihat, serta bebas COVID-19," katanya.

Saravanan berkata dengan adanya kaedah pencegahan yang dipatuhi majikan dan pekerja, negara akan dapat mencegah gelombang baharu jangkitan COVID-19 yang mungkin timbul daripada kluster tempat kerja seperti yang dialami di negara lain.

Beliau berkata adalah amat penting bagi semua majikan dan pekerja mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat dalam pembukaan semua operasi perniagaan bagi memastikan tiada risiko penularan COVID-19.

"Kementerian Sumber Manusia akur tentang perlunya meneruskan semula operasi perniagaan. Pada masa sama, sektor perniagaan mesti mengutamakan keperluan pencegahan penyebaran COVID-19 terutama dalam kalangan pekerja.

"Keselamatan dan kesihatan pekerja adalah amat penting dalam memastikan semua pekerja kekal sihat sewaktu menjalankan pekerjaan masing- masing," katanya.

Saravanan berkata langkah-langkah pencegahan seperti penjarakan sosial ketika berulang-alik ke tempat kerja dan berada di tempat kerja, pemeriksaan suhu badan, penggunaan penutup hidung dan mulut, mencuci tangan dengan kerap dan menghindari tempat yang sesak dengan orang ramai mesti dititikberatkan oleh majikan dan memastikan bahawa ia dipatuhi semua pekerja.

Beliau berkata semua pihak perlu bekerjasama memecahkan rangkaian jangkitan COVID-19 dan mencegah kluster baharu di negara ini.

-- BERNAMA