Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengingatkan majikan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dan Seri Setia, esok.

Timbalan Pengerusinya, Tan Sri Othman Mahmood berkata mana-mana majikan yang menghalang pekerja mereka untuk keluar mengundi boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun, jika sabit kesalahan.

"Peringatan ini ialah kerana sebahagian pengundi yang bekerja dalam sektor swasta berkemungkinan bekerja pada hari tersebut memandangkan kebanyakan kilang dan syarikat beroperasi esok," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Selain itu, beliau juga mengingatkan semua pihak bahawa pada hari pengundian tiada sebarang aktiviti berkempen boleh dilakukan terutama aktiviti merayu undi termasuk di media sosial seperti Facebook, Twitter dan Instagram.

Pada masa sama, Othman turut menasihati calon, penyokong parti, pekerja parti dan pengundi supaya mematuhi undang-undang, peraturan, tata etika dan arahan oleh SPR serta pihak Polis Diraja Malaysia bagi memastikan proses pengundian berjalan lancar, aman dan harmoni.

PRK Balakong dan PRK Seri Setia masing-masing menyaksikan pertandingan satu lawan satu dengan calon Pakatan Harapan (PH) Wong Siew Ki berdepan calon MCA Tan Chee Teong di Balakong manakala calon PH Halimey Abu Bakar ditentang calon PAS Dr Halimah Ali di PRK Seri Setia.

PRK DUN Balakong diadakan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam kemalangan jalan raya pada 20 Julai lepas manakala PRK DUN Seri Setia diadakan susulan kematian penyandangnya Prof Dr Shaharuddin Badaruddin pada 2 Ogos akibat kanser usus.

-- BERNAMA