Majikan lebih memilih pekerja tempatan berbanding pekerja asing - PAPA

Majikan lebih memilih pekerja tempatan berbanding pekerja asing - PAPA
Menggaji pekerja asing melibatkan kos yang tinggi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Permintaan terhadap tenaga kerja tempatan dalam pelbagai industri pekerjaan kini meningkat berikutan majikan lebih berminat menggaji pekerja tempatan berbanding pekerja asing, kata Presiden Persatuan Agensi Pembantu Rumah Asing (PAPA) Datuk Foo Yong Hooi.

Beliau berkata permintaan tinggi terhadap pekerja tempatan itu berlaku antara lain disebabkan kos tinggi yang terpaksa ditanggung majikan bagi menggaji pekerja asing.

"Pekerja tempatan memang penting. Keperluan terhadap tenaga kerja tempatan memang tinggi. Ramai majikan lebih suka memilih pekerja tempatan sebab kalau nak gaji pekerja asing, mereka (majikan) perlu tanggung levi yang tinggi dan banyak risiko lain yang terpaksa ditanggung termasuk tiket membawa pekerja asing.
"Bagaimanapun, sekiranya tiada pilihan dan tiada tenaga kerja tempatan, majikan terpaksa juga ambil pekerja asing untuk kelangsungan produktiviti syarikat mereka," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program dialog 'How to Carry Out Local Manpower Recruitment and Placement' yang dirasmikan Pengarah Tenaga Kerja, Jabatan Tenaga Kerja Wilayah (JTK) Persekutuan Kuala Lumpur Mohd Asri Abdul Wahab.

Sementara itu, Mohd Asri berkata pihaknya mahu agensi pekerjaan swasta untuk mengadakan lebih banyak pameran kerjaya bagi meningkatkan peluang tenaga kerja tempatan memperoleh pekerjaan.

"Biasanya JTK yang anjurkan pameran kerjaya, tetapi kini kita mahu agensi pekerjaan swasta adakan program sebegini kerana mereka adalah orang tengah yang membantu majikan mendapatkan pekerjaan dan kita mahu hasrat majikan untuk dapatkan lebih ramai pekerja tempatan tercapai," katanya.

Sesi dialog anjuran Papa yang berlangsung selama tiga jam itu dihadiri lebih 100 majikan pelbagai industri pekerjaan.

-- BERNAMA

Tag: PAPA, pekerja asing, pekerja tempatan, kos pekerja asing

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.


* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen