Tutup

Majikan perlu jadi pencetus pembangunan pekerja dan negara

Majikan perlu jadi pencetus pembangunan pekerja dan negara
Tidak mustahil perkara ini boleh dipraktikan oleh majikan di Malaysia, tetapi memerlukan sistem urus tadbir dan kesanggupan majikan bersikap telus dengan pekerja.
SEMASA Program Pelaburan 2019 pada bulan Mac lalu, Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyatakan pembangunan negara tidak hanya bergantung kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), tetapi tahap kehidupan rakyat turut diambil kira.

Beliau turut menegur majikan yang membayar pekerja dengan gaji yang rendah.

Tun Dr. Mahathir telah menggesa majikan mengubah pemikiran mereka seperti seorang ‘stakeholders’ (pemegang taruh), dengan membayar gaji pekerja setimpal dengan keuntungan syarikat untuk  merapatkan jurang pendapatan majikan dan pekerja.

Teguran perdana menteri itu selari dengan Laporan Bank Negara Malaysia (BNM) 2018, mendedahkan nasib pekerja tempatan yang dibayar dengan gaji rendah dan sikap kurang prihatin majikan atas gaji dan kebajikan pekerja.

Menurut laporan BNM 2018, kadar upah setiap pekerja  telah menurun kepada 3.6 peratus pada 2017 berbanding 5.8 peratus pada tahun 2015, meskipun produktiviti pekerja meningkat kepada 3.8 peratus berbanding 3.5 peratus pada tahun 2015.

Menariknya, bahagian pendapatan pekerja di Malaysia hanya mencatatkan peningkatan sebanyak 35.2 peratus daripada KDNK pada tahun 2017, tetapi kadar ini lebih rendah berbanding Singapura dan Korea Selatan yang mencatatkan sebanyak 44.8 peratus daripada KDNK. 

Ternyata, majikan menerima bahagian pendapatan yang lebih banyak kepada KDNK berbanding pekerja tempatan. Secara tidak langsung, ia telah melebarkan jurang pendapatan  antara majikan dan pekerja.
Sebanyak 36 peratus peningkatan bahagian pekerja pada tahun 2010 hingga 2017 disebabkan bahagian pendapatan pekerja berkemahiran rendah dan sederhana meningkat. Mereka ini dibayar dengan gaji bawah RM2,000.

Pada tahun 2017, peratusan pekerjaan berkemahiran rendah meningkat sebanyak 16 peratus berbanding lapan peratus pada tahun 2010. Pekerjaan berkemahiran tinggi pula menurun kepada 37 peratus pada tahun 2017 berbanding 45 peratus pada tahun 2010. 

Perkara ini lebih serius apabila 73 peratus pekerjaan pada tahun 2015 hingga 2016 diisi oleh pekerja asing yang tidak berkemahiran. Ini menyebabkan majikan mengekalkan kadar gaji yang rendah. Tentunya, keadaan ini memberi kesan kepada pekerja, khususnya golongan B40.

Pada tahun 2014 hingga 2016, pendapatan golongan B40 secara purata telah meningkat sebanyak 5.8 peratus setiap tahun, tetapi peratusan ini lebih rendah berbanding peningkatan perbelanjaan golongan B40 sebanyak 6 peratus.

Dalam keadaan ini, bagaimana pekerja tempatan ingin mencapai kehidupan yang lebih baik?

Malah, ada majikan yang enggan beralih kepada aktiviti ekonomi yang tinggi seperti penggunaan automasi yang memberi manfaat kepada pekerja tempatan.

Kajian BNM menunjukkan bahawa pekerja yang berkemahiran akan menerima peningkatan gaji premium pada kadar 10 hingga 16 peratus dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4). Kenaikan gaji pekerja berkemahiran ini turut membantu meningkatkan bahagian pendapatan pekerja kepada KDNK menjelang 2020, iaitu sebanyak 40 peratus.
Malangnya, syarikat di Malaysia masih tidak bersedia untuk menggunakan automasi dalam meningkatkan kualiti dan produktiviti pekerja. 

International Federation of Robotics mendapati Malaysia masih ketinggalan jauh dalam penggunaan robot dalam sektor pembuatan. Pada tahun 2016, nisbah robot yang digunakan oleh sektor pembuatan tempatan sebanyak 34 robot untuk setiap 10,000 orang pekerja, lebih rendah  berbanding negara seperti Singapura, 488 robot untuk setiap 10,000 orang pekerja dan Thailand sebanyak 45 robot.

Malaysia memerlukan majikan yang mempunyai kemampuan untuk melabur kepada pembangunan pekerja. Hasil keuntungan syarikat perlu dikongsi secara saksama supaya kuasa membeli pekerja meningkat dan secara langsung menyumbang kepada ekonomi negara.

Mereka perlu sedar bahawa tahap gaji pekerja perlu bersesuaian dengan keadaan ekonomi. Dalam hal ini, majikan perlu telus dalam memberi informasi tentang gaji pekerja.

Verve, sebuah syarikat teknologi di UK memberi akses informasi mengenai gaji setiap pekerja dan CEO dan amalan ini telah menghapuskan keraguan dan jurang pendapatan antara pekerja dan majikan. Pekerja juga lebih jelas akan tugas mereka dan boleh membuat perancangan kerjaya dalam syarikat.

Tidak mustahil perkara ini boleh dipraktikkan oleh majikan di Malaysia. Tetapi, ia memerlukan sistem urus tadbir dan kesanggupan majikan bersikap telus dengan pekerja.

Majikan atau syarikat perlu melabur dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi. Pelaburan Malaysia dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada KDNK masih rendah, iaitu sekitar 1.7 peratus berbanding negara seperti Korea Selatan (4.3 peratus) dan Jepun (3.4 peratus).

Pelaburan penyelidikan ini mampu mencipta teknologi yang tinggi untuk meningkatkan produktiviti. Ia mampu menjimatkan kos syarikat dalam jangka panjang dan boleh meningkatkan gaji pekerja. Malah, keuntungan yang diperoleh juga boleh dilaburkan kepada persediaan melatih pekerja untuk menjadi lebih mahir dan produktif.

Secara ringkasnya, majikan perlu keluar daripada zon selesa, menjadi ‘pencetus’ dalam merealisasikan impian Malaysia menjadi negara berpendapatan tinggi, dipacu oleh aktiviti ekonomi berkualiti tinggi dan memastikan taraf hidup pekerja bertambah baik dengan membayar gaji mereka dengan setimpal. Peranan mereka amat penting untuk masa hadapan pembangunan pekerja dan negara.


*Fakhrurrazi Rashid adalah Koordinator Program Research For Social Advancement (REFSA).

**Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.




Tag: Mahathir Mohamad, Bank Negara Malaysia, KDNK, CEO, bank, ekonomi, international, pekerja asing, rakyat, pelaburan, menteri


Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.