Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) mengingatkan para majikan supaya mengikuti syarat-syarat serta berlaku jujur sewaktu mengemukakan permohonan bagi Program Subsidi Upah (PSU) dan Program Pengekalan Pekerjaan (ERP).

Ketua Eksekutif Perkeso Datuk Sri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dalam satu kenyataan berkata majikan diminta untuk tidak memasukkan pekerja yang tidak berdaftar dengan pertubuhan itu sebelum 1 April 2020, atau nama pekerja yang tidak wujud.

"Bagi majikan yang membuat permohonan PSU yang mana pekerja mereka tidak berdaftar dan mencarum dengan Perkeso sebelum 1 April 2020 walaupun telah bekerja sebelum tarikh itu, senarai majikan berkenaan akan dikemukakan kepada Bahagian Penguatkuasaan Perkeso untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan mengenai status mingguan permohonan yang dikeluarkan pada Jumaat.

Beliau berkata sehingga Khamis (7 Mei), Perkeso telah menerima sebanyak 278,505 permohonan bagi PSU daripada majikan yang mewakili 2.24 juta pekerja sejak permohonan itu dibuka pada 1 April 2020.

Bagi ERP pula, katanya, Perkeso telah menerima sebanyak 33,264 permohonan daripada pihak majikan yang mewakili sebanyak 296,718 pekerja.

Seperti yang diumumkan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M.Saravanan, permohonan bagi ERP yang masih lagi dibuka mendapat peruntukan tambahan sebanyak RM120 juta serta akan memberi manfaat kepada lebih ramai pekerja.

Permohonan subsidi itu masih boleh dibuat melalui prihatin.perkeso.gov.my. atau boleh berhubung dengan PERKESO melalui e-mel [email protected] atau di laman sosial Facebook di www.facebook.com/PERKESO.Official/ atau di talian 03-8091 5100 / 03-4264 5555 / 1-300-22-8000.

-- BERNAMA