Kos penghantaran kesemua pekerja Korea Utara di negara ini yang permit kerja mereka tamat tempoh akan ditanggung pihak majikan masing-masing, ujar Ketua Pengarah Jabatan Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali.

Ketika ini jelasnya, persetujuan itu dibuat pihak majikan bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Majikan-majikan mereka telah mengambil tindakan untuk membiayai kos penghantaran pulang mereka ke negara asal.

"Memang ada yang sudah balik. Namun saya tidak ada jumlah itu sekarang kerana ia juga bergantung kepada penerbangan dan sebagainya," katanya dalam satu sidang media selepas menyampaikan Syarahan Perdana bertajuk "Dunia Tanpa Sempadan: Menjaga Kedaulatan Negara" di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di sini hari ini.

Ujarnya, kesemua 296 rakyat Korea Utara telah menyerah diri kepada pihak Imigresen dan penghantaran pulang mereka ke negara berkenaan dibuat secara berperingkat.

"Saya telah sebutkan 296 rakyat Korea Utara di Sarawak itu, mereka bekerja di industri arang batu khususnya dan dalam industri pembinaan.

"Setelah saya memberikan kata dua iaitu seminggu agar 117 orang itu to come forward, dan semua telah serah diri pada Imigresen dan mereka dalam proses untuk dihantar pulang," katanya lagi.

Mustafar sebelum ini berkata, 296 warga Korea Utara di Sarawak telah menyerah diri ke Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) melibatkan mereka yang telah tamat tempoh pas yang sah dan tinggal lebih masa menggunakan Pas Lawatan Sosial (PLS).