Bermula 1 Januari 2018, majikan di seluruh Malaysia wajib membayar levi pekerja asing mereka.

Kementerian Sumber Manusia dalam satu kenyataan berkata, semua majikan mesti menanggung pembayaran levi pekerja asing baharu dan pekerja asing yang telah memperbaharui Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS).

“Ketetapan dasar ini terpakai kepada majikan yang telah mendahulukan pembayaran levi pekerja asing sebelum ia dikuatkuasakan walaupun tempoh PLKS masih aktif dari tahun ini dan tamat tempoh pada 2018.

“Tindakan tegas akan dikenakan ke atas majikan yang gagal mematuhi undang-undang, peraturan dan dasar yang ditetapkan berhubung pembayaran levi pekerja asing,” katanya di sini, hari ini.

Ketetapan pembayaran levi oleh majikan adalah termaktub dalam dokumen Aku Janji Majikan yang perlu ditandatangani majikan sebelum dibenarkan menggaji pekerja asing.

Kadar pembayaran levi pekerja asing di Semenanjung Malaysia bagi sektor perkilangan, pembinaan dan perkhidmatan ialah RM1,850, perladangan dan pertanian (RM640) dan pembantu rumah adalah antara RM410 hingga RM590 (mengikut bilangan).

Di Sabah dan Sarawak, kadar pembayaran levi pekerja asing bagi sektor perkilangan dan pembinaan ialah RM1,010, perkhidmatan (RM1,490), perladangan (RM590), pertanian (RM410), dan pembantu rumah adalah antara RM410 hingga RM590.

Kerajaan melalui Rancangan Malaysia Ke-11 menggariskan inisiatif bagi menambah baik sistem pengurusan pekerja asing di Malaysia termasuk dengan mengehadkan penggajian pekerja asing pada kadar 15 peratus daripada jumlah guna tenaga negara menjelang 2020.

Selain itu, mengawal selia kemasukan pekerja asing berkemahiran rendah melalui penambahbaikan sistem levi pekerja asing.

Dalam usaha mencapai inisiatif tersebut, Jemaah Menteri pada 25 Mac 2016 bersetuju supaya bayaran levi pekerja asing ditanggung oleh majikan berkuat kuasa 1 Januari 2018.

Namun, setelah menerima pandangan dan maklum balas daripada pertubuhan majikan dan mengambil kira kos menjalankan perniagaan, tempoh penyesuaian industri dan pengurusan sumber manusia syarikat, kerajaan memutuskan supaya majikan di seluruh Malaysia membayar levi pekerja asing bermula Januari ini.

--BERNAMA