Majlis Agama Islam sewajibnya berfungsi sebagai sebuah Dewan Pemikiran dan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan langsung Yang di-Pertuan Agong.

Demikian titah Timbalan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah mengenai peranan Majlis Agama Islam.

Selain itu, Titah Baginda majlis juga harus berperanan sebagai jambatan penghubung antara umat Islam dengan Raja Pemerintah, kerajaan pilihan rakyat, dan antara umat Islam dengan bukan Islam.

Sehubungan itu, titah Baginda kesetiaan ahli-ahli Majlis Agama Islam yang telah diperkenankan lantikan adalah kepada Yang di-Pertuan Agong dan titah perkenan Baginda wajib diperoleh sebelum sesuatu dasar, arahan dan kegiatan mengenai Islam mahu dilaksanakan.

"Ahli-ahli MAJLIS wajib melakukan perekayasaan, membawa minda keluar, merangka rancangan dan tindakan yang lebih substantif demi kemuliaan sinar Islam, dan demi membela martabat umat Islam," titah Sultan Nazrin.

"Peranan MAJLIS wajib diluaskan, dimerdekakan daripada minda lama yang dengan sengaja disempitkan oleh Inggeris. Peranan MAJLIS hendaklah ditakrif secara bijak, disuntik dengan tenaga pemikiran, dan tenaga pelaksana berwibawa, untuk menghasilkan idea bernas dan program dinamik," tambah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda menegaskan, Majlis Agama Islam hendaklah bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik kepartian agar menjadi instrumen penyatuan ummah .

Titah Baginda, majlis tidak boleh dilihat berpihak sebaliknya perlu neutral dan diterima tanpa prejudis - tanpa prasangka oleh umat Islam.

"Majlis Agama Islam dalam memenuhi peranannya, hendaklah bebas daripada pengaruh dan campur tangan politik berparti; agar berupaya menyembahkan perkara-perkara kepada Raja Pemerintah secara tidak partisan, membantu Baginda memperkenankan sesuatu keputusan secara objektif lagi bijaksana," titah Sultan Nazrin.

Titah Baginda lagi, walau apa pun senario politik yang berlaku di dalam negara, selagi tindak tanduk Majlis Agama Islam tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan, negara hendaklah mengiktirafnya sebagai sebuah institusi yang berperanan penting untuk menjamin kelangsungan Islam dan survival ummah.

Baginda bertitah demikian pada Majlis Penyampaian Watikah Perlantikan Ahli-ahli Majlis Agama Islam, Hakim Mahkamah dan Pendaftar Mahkamah Syariah Pulau Pinang di Bayan Lepas, pada Jumaat.