Majlis Khatan Perdana anjuran Biro Agama UMNO Bahagian Pekan berjaya mencipta rekod baharu Malaysia Book of Records (MBOR) apabila menerima penyertaan lebih 1,201 kanak-kanak pelbagai usia.

Majlis berkhatan itu memecahkan rekod selama 13 tahun yang dicatatkan di Shah Alam, Selangor dengan penglibatan 1,000 peserta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang menghadiri upacara berkhatan secara beramai-ramai itu turut menandatangani sijil pengiktirafan sebelum diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MBOR, Datuk Michael Teo.

Najib pada masa sama mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa kanak-kanak terlibat kerana membenarkan anak-anak mereka menyertai upacara berkhatan di samping sempat berpesan kepada peserta untuk menguatkan semangat ketika berdepan pasukan perubatan atau Tok Mudim.


Terdahulu, para peserta juga dimandikan secara beramai-ramai oleh Najib dan Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob menggunakan hos yang disediakan Bomba dan Penyelamat.

100 doktor dan jururawat dari Hospital Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur turut terlibat dalam majlis khatan itu.

Pada majlis berkenaan, Najib menyerahkan replika cek bayaran hasil Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara bagi tahun 2015 berjumlah RM5.55 juta kepada wakil penanam Kenaf, Abdul Razak Yaakob.

Wang tersebut kemudian yang akan diserahkan kepada 913 penanam Kenaf di seluruh negara.