Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, gembira dengan maklum balas positif daripada Majlis Penasihat Kerajaan selepas pertemuan dengan mereka di Menara Ilham hari ini.

"Mereka dengar apa yang saya sampaikan berhubung industri dan responnya positif.

"Saya diminta untuk menulis semula memorandum tentang apa yang saya sampaikan untuk dibincangkan," katanya selepas pertemuan dengan Majlis Penasihat Kerajaan selesai.

Perbincangan dengan Siti Nurhaliza merupakan salah satu pertemuan dengan beberapa penggiat seni dalam negara yang diatur Majlis Penasihat Kerajaan pada hari ini.

Siti Nurhaliza dipanggil untuk memberi maklum balas dalam industri nyanyian.

Selain beliau, turut dijemput untuk memberi maklum balas dalam bidang seni adalah Jo Kukathas, Eddin Khoo, Hassan Muthalib dan bekas Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas), Datuk Kamil Othman.