JIKA benar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat seperti yang dijadualkan iaitu pada 12 Mei, adakah selamat untuk anda meneruskan pelbagai agenda yang sudah dirancang?

Bagi pasangan yang mahu mengadakan majlis perkahwinan, adakah semua peraturan yang terpakai semasa PKP masih perlu diteruskan?

Kami senaraikan beberapa perkara untuk dipertimbangkan khusus bagi mereka yang mahu meneruskan kenduri perkahwinan selepas musim PKP.

BILA?

Jika anda merancang majlis perkahwinan dalam tahun ini juga, ia boleh disifatkan sebagai waktu kritikal.

Ini kerana mengikut jangkaan ramai pakar dan penyelidik, tahun 2020 bukanlah masa yang selamat untuk anda mengadakan sebarang bentuk perhimpunan.

Jsuteru, adalah lebih baik jika anda menangguhkan majlis anda ke tahun hadapan.


JEMPUTAN

Hadkan jemputan anda kepada 100 jemputan dan ke bawah, baik untuk pernikahan atau persandingan.

Majlis perkahwinan dengan jumlah jemputan yang ramai seperti yang biasa diamalkan masyarakat kita perlu dielakkan.

Sebaiknya, dahulukan keluarga dan rakan terdekat sahaja.

Anda boleh menggunakan kemudahan teknologi bagi mereka yang tidak dapat hadir di hari bahagia anda.

Pelbagai aplikasi boleh digunakan, malah kemudahan siaran langsung di laman sosial juga boleh dimanfaatkan.


SENARAI KEHADIRAN

Ambil nama semua tetamu yang hadir berserta nombor untuk dihubungi.

Ini akan memudahkan jika berlaku perkara tidak diingini, seperti kewujudan kluster di majlis tersebut.


TEMPAT DUDUK

Jika biasanya tetamu ditempatkan di satu meja berkapasiti 10 orang atau lebih, kali ini cuba kurangkan.

Pastikan ada jarak antara satu sama lain.


JAMUAN

Elakkan hidangan makan secara bufet. Sebaiknya, hidangkan makanan di atas meja tetamu.

Dengan cara ini, tetamu tidak perlu beratur dan bangun untuk ambil makanan.


SEDIAKAN KELENGKAPAN KEBERSIHAN

Pengantin perlu berbelanja lebih untuk menyediakan kelengkapan penjagaan kebersihan seperti pencuci pembasmi tangan.

Sebaiknya letakkan satu di setiap meja tetamu dan juga di pintu masuk.

Pengantin juga boleh mewajibkan penggunaan topeng muka dalam kalangan tetamu.

Sediakan juga bekalan jika ada yang terlupa untuk bawa sendiri.

Selain itu, keluarga pengantin juga boleh memilih untuk membuat saringan suhu badan terhadap semua tetamu yang hadir.


ELAK KONTAK FIZIKAL DENGAN TETAMU

Kebiasaannya tetamu yang hadir tentunya mahu berjumpa dan bergambar dengan pengantin. Hal ini perlu dielakkan.

Sebagai ganti, pengantin boleh membuat ucapan terima kasih menggunakan mikrofon kepada semua tetamu yang hadir.

Jika mahu memberi ole-ole dalam bentuk foto kepada tetamu, pengantin boleh mengirimkan gambar-gambar yang diambil di majlis kepada tetamu yang hadir menerusi emel.

Bincanglah dengan keluarga dan perancang perkahwinan, mereka tentu ada idea yang bernas untuk melaksanakannya.