Kementerian Luar Negeri akan terus berusaha untuk merakyatkan dasar luar, bagi memahami soal-soal luar negara,

Majlis Rundingan Dasar Luar yang ditubuhkan merupakan satu usaha untuk lebih bersifat terbuka dalam membincangkan perihal yang dekat dengan rakyat.

Itu yang dijelaskan Menterinya, Datuk Saifuddin Abdullah ketika diminta mengulas kejayaan kementerian itu selepas setahun di bawah kepimpinan Pakatan Harapan.

“Kementerian luar negeri tubuhkan Majlis Perundingan Dasar Luar dan kami mencadangkan Parlimen tubuhkan jawatankuasa terpilih sebagai usaha merakyatkan dasar luar.

“Ramai yang beranggapan, dasar luar elit sifatnya. Terbang sana sini, hadiri mesyuarat besar tetapi apa yang mereka perlu fahami adalah dasar luar bermula di halaman sendiri.

“Ia juga memberi peluang kepada rakyat untuk membincangkan dengan baik perkara-perkara yang sebelum ini dianggap tabu atau diluar kebiasaan,” katanya kepada Astro AWANI.

Dalam pada itu, Saifuddin turut menjelaskan kementeriannya komited untuk memastikan Malaysia terus menarik minat anggota negara-negara Asean dari segi perdagangan Asia.

“Malaysia mampu beri kepimpinan moral dari segi perdagangan asia dan terdapat tiga perkara yang menarik minat anggota negara-negara Asean dan rakan dialog seperti China, Korea Selatan dan Jepun.

“Sudah tiba masanya Malaysia dikenali sebagai hub pengeluar dalam bentuk barang perkilangan dan urusan perkhidmatan,” jelasnya.

Ikuti temubual Saifuddin bersama Timbalan pengarang Astro AWANI dalam rancangan Agenda AWANI pada Rabu jam 9 malam ini.