Majlis Raja-Raja perlu bersidang dan mempertimbang untuk memasukkan Sultan Melaka Darul Islam, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Raja Noor Jan Shah Ibni Almarhum Yam Raja Tuah ke dalam badan tertinggi Diraja negara tersebut.

Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Abdul Rani Kulup Abdullah berkata, saranan itu dikira perlu pada saat Melaka kini memerlukan sultan yang sah dan boleh mentadbir negeri.

"Kalau Sultan Melaka itu tidak sah mengapa baginda diiktiraf di Indonesia, Brunei, Thailand, Singapura dan banyak lagi negara luar?

"Majlis Raja-Raja patut bersidang balik. Sudah tiba masanya Melaka mempunyai Sultan Melaka akan menuntut kembali hak-hak serta royalti yang harus dibayar penjajah kepada Melaka satu masa dahulu.

"Sultan Melaka bukan hendak mengganggu politik negara. Baginda mempunyai kuasa untuk mengambil semula harta Melaka yang menjadi hak negeri termasuk di Riau, Indonesia," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.

Abdul Rani sebelum ini dilaporkan dikurniakan darjat Paduka Baginda oleh 'Sultan Melaka' sewaktu menghadiri majlis keputeraan yang dirahsiakan tempatnya.

Pada majlis tersebut, Raja Noor Jan menganugerahkan Darjah Paduka Mahkota Melaka (DPMM) kepada Abdul Rani yang membawa gelaran 'Paduka Baginda' di awalan namanya.

Majlis Raja-Raja merupakan sebuah badan rasmi yang ditubuhkan mengikut Perkara 38 Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai tempat bagi Raja-Raja dan Yang di-Pertua - Yang di-Pertua Negeri bertemu dan berbincang.

Dalam beberapa perkara yang tertentu, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan kerajaan supaya memperolehi nasihat daripada Majlis Raja-Raja.

Majlis ini dianggotai semua sembilan Raja Melayu dan empat Yang di-Pertua Negeri.

Dalam perkembangan berasingan, Abdul Rani menyifatkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron lebih berhemah sebelum menggelar individu lain sebagai tidak waras.

"Sifar Idris itu menunjukkan dia tidak berbudi bahasa. Sebenarnya kata-kata itu mencerminkan dirinya sendiri," ujarnya.

Pada Sabtu, Penolong setiausaha Pemuda Cawangan Pusat Bandar Taman Chempaka, Bahagian Pandan, Syed Rosli Jamalullail meminta Idris segera memohon maaf kerana tuduhan gila kepada Raja Noor Jan yang mengaku dirinya adalah Sultan Melaka.

Tegas Syed Rosli, Idris perlu menyiasat salasilahnya sendiri sebelum memperlekehkah Raja Noor Jan.

Penulis dan pakar motivasi, Mejar (B) Mohammad Qayyum A. Badaruddin sebelum ini meminta masyarakat tidak teruja dengan penganugerahan gelaran Datuk Paduka Mahkota Melaka kepada Abdul Rani.

Jelasnya, ia strategi Abdul Rani untuk dilihat intelektual di mata masyarakat negara ini semata-mata.