Majlis Tindakan Ekonomi bukan tanda kelemahan menteri - Mujahid

Majlis Tindakan Ekonomi bukan tanda kelemahan menteri - Mujahid
Majlis yang ditubuhkan Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut diwakili majoriti ahli Kabinet Perdana Menteri sendiri.
SHAH ALAM: Penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi akan mengukuhkan lagi Kabinet Pakatan Harapan (PH) dan bukan bermakna kelemahan menteri sedia ada.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof berkata, majlis yang ditubuhkan  Tun Dr Mahathir Mohamad itu turut diwakili majoriti ahli Kabinet Perdana Menteri sendiri.

"Sefahaman saya, yang duduk di dalam itu semua menteri-menteri yang akan mengukuhkan lagi majlis berkenaan dan bukan kelemahan menteri.
"Ia merentasi kementerian-kementerian yang saya kira ia mempunyai satu mekanisma luas menjayakan agenda ekonomi.

"Sebab itu semua ahli jawatankuasanya majoriti menteri dalam Kabinet, ia bukan melambangkannya memberi prestasi atau tidak," katanya semasa ditemui selepas Program Bicara Minda Sinar Harian di sini, pada Selasa.

Sebelum ini, tokoh wartawan negara, Datuk A Kadir Jasin, berkata, penubuhan Majlis Tindakan Ekonomi oleh Perdana Menteri mempunyai maksud tersirat bahawa Dr Mahathir merasakan Kabinet tidak memadai untuk menangani isu-isu ekonomi, kewangan dan kebajikan rakyat.

Tegas A Kadir, selepas lebih lapan bulan mentadbir negara, kerajaan PH belum berjaya menampakkan hasil yang boleh dirasakan oleh rakyat jelata.

Dalam pada itu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut menafikan dakwaan kononnya penubuhan majlis itu disebabkan anggota Kabinet sedia ada tidak memadai menangani isu berkaitan ekonomi.

Katanya, ia langkah ke hadapan dalam memulihkan dan memperkukuhkan ekonomi negara.