"Jika terputus wang, kami anak beranak makan nasi berlaukkan telur sahaja," kata Nor Suria Salleh, 39.

Suri rumah itu mempunyai lapan anak berusia dua hingga 12 tahun hasil perkongsian hidupnya bersama Mohd Sayantul Arifin Jupri, 39.

Menurutnya, mereka sekeluarga bergantung hidup dengan pendapatan tonggak utama keluarga itu yang bekerja memasang khemah dengan gaji sekitar RM1,300 sebulan dan tinggal di Larkin, di sini.

"Kadang-kala tidak cukup jadi kami hanya makan apa yang ada sahaja.

"Syukur, anak-anak memahami keperitan yang dialami dan tidak merungut kalau saya hidangkan lauk sedemikian," katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, keadaan hidup menjadi lebih sukar apabila suaminya hanya menerima upah jika mempunyai kerja.

Tambahnya, pendapatan keluarganya juga mula terjejas akhir-akhir ini apabila suaminya disahkan menghidap tibi sejak beberapa tahun lalu.

Jelasnya, kepayahan hidup yang dialami, selain lewat mendaftarkan kelahiran zuriatnya, menyebabkan anak-anaknya tidak dihantar ke sekolah.

"Syukur, Awan (Angkatan Wanita Amanah Negara) Johor Bahru banyak membantu dan empat anak saya dapat bersekolah sejak tahun lalu

"Mujur anak-anak menerima Rancangan Makanan Tambahan (RMT) di sekolah," katanya.

Dalam pada itu, Nor Suria berkata, dia berharap sangat dapat bekerja secara sampingan bagi membantu beban suaminya menyara keluarga.

"Kalau ada sesiapa yang mahu tawar saya apa-apa pekerjaan, saya alu-alukannya.

"Buat masa ini saya cuma buat kacang pedas untuk anak-anak jual di sekolah,"katanya.