Variasi makanan tempatan menjadi antara tumpuan promosi Tahun Melawat Malaysia 2020 (VMY2020), kata Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Musa Yusof.

Beliau berkata sebagai sebuah negara yang terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan etnik, Malaysia memiliki kelebihan kepelbagaian makanan yang boleh diperkenalkan kepada pelancong.

"Melihat kepada kelebihan yang dimiliki Malaysia dari segi penawaran produk makanan tempatan, penjualan menerusi gastronomi antara perkara yang Tourism Malaysia akan beri tumpuan untuk promosi VMY2020," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis pelancaran promosi makanan Malaysia oleh 15 pengusaha hotel dan restoran Langkawi di Aseania Resort Langkawi di sini malam tadi.

Sebanyak 25 jenis makanan dipromosikan oleh pengusaha hotel dan restoran di pulau peranginan bebas cukai ini antaranya peknga, kuih qasidah, kerabu bronok, nasi dagang, emping jagung dan ubi kayu, laksa Mahsuri udang, sotong sumbat, kuih karas, peneram dan nasi lemak.

-- BERNAMA