Polis berjaya membongkar makmal memproses dadah terbesar di negeri ini tahun ini dan menahan lima orang ahli sindiket dalam satu serbuan di sebuah rumah di Klebang, di sini, pada Jumaat.

Serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, dalam serbuan itu, polis merampas 109.8 kilogram dadah jenis heroin dan kafein yang bernilai lebih RM600,000.

Menurutnya, polis turut menyita pelbagai jenis kenderaan, barang kemas dan wang tunai bernilai hampir RM400,000.

"Bermula daripada 6.25 petang hingga 7.10 petang, tiga serbuan telah dilaksana dan kita telah berjaya membongkar satu makmal heroin, memproses dadah.


Mohd Khalil (kiri) menunjukkan antara barangan makmal yang disita. Astro AWANI

"Makmal ini, hasil daripada maklumat yang ada, kita telah berjaya menangkap seramai lima orang, iaitu empat lelaki dan seorang wanita, anggaran umur di antara 25 dan 50 tahun.

"Ini adalah kali pertama, satu sindiket yang dipelopori seorang lelaki, yang diketuai kumpulan Punjabi," kata Mohd Khalil kepada pemberita pada satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di sini hari ini.

Hadir sama, Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain.

Dadah yang dirampas. Astro AWANI

Berdasarkan siasatan, makmal tersebut dipercayai beroperasi sejak lebih tiga minggu lalu dan mereka memproses sendiri dadah berkenaan, dipercayai untuk pasaran tempatan.

Seorang lelaki dan seorang wanita, masing-masing direman enam hari bermula Sabtu lalu di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, tiga lagi lelaki ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985.

Lagi barangan makmal yang dirampas. Astro AWANI