Sebuah makmal memproses dadah jenis ketamin di sebuah kondominium mewah di Taman Sri Hartamas dibongkar susulan tangkapan dua lelaki di Cheras, Jumaat lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pembongkaran makmal memproses dadah jenis ketamin itu merupakan yang pertama seumpamanya di negara ini.

"Suspek yang berusia 44 dan 51 tahun itu ditahan pada jam 7.30 petang di tepi Jalan Mutiara Raya, Taman Mutiara Cheras dan hasil pemeriksaan terhadap kenderaan Perodua MyVi milik suspek menjumpai tiga bungkusan plastik berisi dadah jenis ketamin dengan anggaran berat 2.495 kg di bahagian bonet kereta tersebut," katanya dalam satu sidang media di ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur tadi.

Berikutan daripada tangkapan tersebut, siasatan polis terhadap kedua-dua suspek tersebut membawa polis ke sebuah unit kondominium mewah di Taman Sri Hartamas, Kuala Lumpur.

“Pemeriksaan polis terhadap unit rumah dua bilik yang berada di aras lima itu berjaya menemui dan merampas bahan-bahan kimia dan alatan memproses dadah di dalam rumah tersebut. Selain itu, wang tunai berjumlah lebih daripada RM4,000 turut dijumpai,”.

dadah
Bahan-bahan kimia dan alatan memproses dadah ketamin turut ditemui polis dalam sebuah unit rumah di kondominium mewah di Sri Hartamas yang dijadikan makmal dadah. -foto Aizat Sharif

Selain itu, polis turut merampas sejumlah besar bungkusan dan bekas plastik mengandungi dadah dipercayai daripada jenis ketamin yang dianggarkan berat keseluruhannya adalah 15.08 kg dan 200 biji pil ekstasi.

Jumlah rampasan keseluruhan dianggarkan sebanyak RM727,000.

Ini merupakan sejarah pertama cawangan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur yang berjaya membongkar makmal pemprosesan dadah jenis ketamin kerana sebelum kebanyakkan makmal dadah yang diserbu sebelum ini memproses dadah jenis syabu.

Siasatan awal polis mendapati bahawa kedua-dua suspek yang berasal dari Sungai Petani, Kedah telah menggunakan unit rumah tersebut sebagai makmal memproses dadah semenjak Oktober tahun lalu.

“Mereka terlibat dalam memproses dadah tersebut dan juga kerja-kerja pengedaran yang ditumpukan di pasaran Lembah Klang dan mereka juga sering berkunjung ke Genting Highlands dipercayai untuk menjalankan kerja-kerja pengedaran dadah tersebut,” katanya.

Pengedaran dadah oleh suspek lebih berbentuk besar-besaran dimana satu kilogram dadah ketamin itu dijual dengan harga RM40,000 namun mereka bergerak dalam kumpulan-kumpulan kecil.

Kedua-dua suspek tersebut pernah ditahan polis atas kesalahan memiliki senjata berbahaya dan mereka direman sehingga Jumaat ini untuk membantu siasatan dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.