Polis berjaya membongkar sindiket memproses dadah jenis syabu, hasil serbuan di Bandar Puteri dan Kampung Jawa di sini, dua hari lepas.

Di Bandar Puteri, polis berjaya menangkap dua lelaki warga tempatan yang juga anggota kongsi gelap 24.

Serbuan pada jam 6 petang itu juga berjaya menemui 8.9 kilogram dadah jenis syabu.

Menurut Timbalan Ketua Polis Selangor Datuk Ab Rashid Ab Wahab, serbuan di Bandar Puteri dilakukan sepasukan polis dari bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Klang Selatan.


"Hasil serbuan berjaya menangkap suspek warganegara Malaysia dan berjaya merampas sejumlah anggaran berat 8976.4 gram disyaki dadah syabu methamphetamine," katanya.

Turut dirampas dalam serbuan berkenaan adalah peralatan untuk membungkus dadah. Anggaran nilai rampasan dadah lebih RM628,000 yang disyaki untuk pasaran tempatan.

Sementara itu, serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Jawa berjaya menemui 54,382 liter cecair disyaki meth oil dan lebih satu kilogram syabu selain peralatan serta bahan kimia bagi memproses dadah.

Anggaran rampasan kedua itu lebih RM73,000.

Polis juga menyita kenderaan, wang tunai serta dua utas rantai emas bernilai lebih RM100,000.

Semakan mendapati kedua-dua lelaki yang ditangkap itu, berusia 37 dan 40 tahun, pernah ditahan sebelum ini bagi kesalahan dadah.

Mereka direman sehingga 27 Dis ini untuk siasatan lanjut.

Mengikut rekod dari Januari hingga November 2017, polis Selangor berjaya menahan 17,489 orang yang terlibat dalam gejala dadah dan seramai 815 orang disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952.