Korea Selatan menyifatkan Malaysia sebagai adil dan munasabah dalam mengendalikan siasatan kes pembunuhan Kim Jong Nam, abang tiri kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong Un.

Perkara tersebut diakui Speaker Parlimen Korea Selatan, Chung Sye Kyun yang mengakui Malaysia tidak berganjak dengan pendekatan tersebut walaupun menerima tekanan daripada Korea Utara.

Sye Kyun sekali gus memberi bayangan siasatan tersebut dikendalikan tanpa menyebelahi mana-mana pihak.

“Kerajaan Malaysia berlaku adil dan sentiasa munasabah sepanjang berdepan dengan pelbagai rintangan ketika mengendalikan isu ini (kematian Jong Nam).

“Saya harap rakyat Malaysia yang masih berada di Korea Utara akan diberi kebenaran pulang ke tanah air mereka secepat mungkin dan dalam keadaan selamat,” katanya.

Terdahulu, beliau mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, di pejabatnya di Parlimen, di sini.

Pada 13 Februari lalu, Jong Nam dibunuh menggunakan senjata kimia iaitu Agen Saraf VX yang disembur ke mukanya ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) untuk ke Macau.

Sye Kyun berkata, pihaknya turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sebelum ini bagi membincangkan beberapa perkara termasuk hal ehwal perdagangan dan ekonomi kedua-dua negara.

“Kami turut menyatakan minat dan keupayaan Korea Selatan dalam bidang kejuruteraan terhadap projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang akan dibina menghubungkan Malaysia dan Singapura,” katanya.