Malaysia akan membenarkan kilang memproses nadir bumi Australia, Lynas Corp untuk terus beroperasi di negara itu, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengumuman oleh perdana menteri itu menamatkan ketidakpastian yang menyelubungi masa depan kilang Lynas bernilai US$800 juta (RM3.35 bilion) di Gebeng, Pahang selepas pembaharuan lesen operasinya digantung sementara.

"Ya, kami akan perbaharui lesen Lynas," katanya pada dialog dan sidang media dengan Kelab Koresponden Asing Jepun (FCCJ) di sini, hari ini.

Akhir tahun lepas, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Perubahan Iklim mengenakan dua syarat bagi pembaharuan lesen kilang Lynas Advance Materials Plant (LAMP), termasuk menghantar sisa bahan radioaktif keluar daripada negara itu.

LAMP juga perlu memastikan sisa buangan Water Leached Purification Residue (WLP) mengandungi bahan radioaktif dihantar keluar daripada Malaysia.

Bagi pelupusan sisa buangan berjadual Neutralization Underflow Residue (NUF), LAMP perlu mengemukakan pelan tindakan bagi pelupusan buangan terkumpul sebelum dipertimbangkan bagi permohonan kelulusan di bawah Peraturan 9 (6) dan 9 (7), Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.)

Dr Mahathir berkata Malaysia pernah melalui pengalaman pahit melibatkan sisa radioaktif dan menjangkakan tiada sebarang masalah apabila membenarkan Lynas beroperasi.

"Semasa kami mempelawa Lynas untuk melabur, kami tidak fikir terdapat sebarang masalah dengan sisa radioaktif, jika sebaliknya, kami perlu bincang bagaimana untuk melupuskannya (sisa). Jadi, tiada kesan tempatan.

"Lynas dibenarkan untuk terus beroperasi kerana kami tidak mahu kehilangan pelaburan besar dari Australia," katanya.

Sebelum ini, Lynas Malaysia Sdn Bhd dilaporkan yakin bahawa lesen operasi mereka akan dilanjutkan sebelum tarikh tamat pada September.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Amanda Lacaze berkata ini kerana Lynas telah memenuhi semua syarat peraturan ditetapkan dan telah mematuhinya sejak kilang memperoses nadir bumi itu mula beroperasi di Gebeng.

-- BERNAMA