Malaysia sedia memboikot beberapa barangan dari negara ahli dalam Kesatuan Eropah (EU) sekiranya mereka meneruskan tindakan pengharaman import minyak kelapa sawit.
Namun, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong berkata buat masa ini, Malaysia akan mengambil pendekatan diplomatik dalam hal tersebut.
"Saya ada membuat lawatan ke beberapa negara Eropah baru-baru ini dan mereka memberikan respon positif serta tidak bersetuju dengan diskriminasi perdagangan minyak sawit ini.
"Oleh itu, kita berharap agar usul dari Parlimen Eropah yang dibangkitkan pada Januari tahun ini tidak diteruskan," kata Siew Keong.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan dari Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim (BN - Kuala Selangor) di Dewan Rakyat pada hari ini.
Tambahnya, Malaysia kekal komited dalam meneruskan rundingan dan pendampingan dengan negara-negara terlibat dalam EU untuk tidak bersetuju dengan pengharaman import minyak sawit.
"Ini kerana kami sedar bahawa jika larangan ini dikuatkuasakan, ia bakal memberi impak negatif kepada lebih kurang 650,000 pekebun kecil kelapa sawit dan ramai lagi pihak yang terlibat dalam perusahaan melibatkan kelapa sawit," kata beliau.