Kerajaan Malaysia berikrar akan terus memburu dalang di sebalik tragedi yang menimpa pesawat malang Malaysia Airlines, MH17.

Dalam satu kenyataan hari ini sempena genap lima tahun tragedi itu berlaku, Kementerian Pengangkutan (MOT) berkata, tanggungjawab Kerajaan Malaysia tidak akan sekali-kali pudar, atau dilepaskan begitu sahaja.

“Kerajaan Malaysia akan terus memburu mereka yang bertanggungjawab atas jenayah yang tidak berperikemanusiaan ini, serta memastikan keadilan untuk mangsa.

“Malaysia akan terus bekerjasama dengan ahli Pasukan Siasatan Bersama (JIT) yang lain, dan negara yang terlibat, termasuk komuniti antarabangsa, dalam memberi maklumat mengenai keadaan semasa dalam usaha mencari akauntabiliti dan keadilan, kata MOT dalam kenyataan itu.


Kementerian berkata, tanpa ragu-ragu, semua keluarga dan waris mangsa yang terjejas akibat tragedi itu berhak untuk mendapat keadilan.

“Kami secara jujurnya berharap tindakan ini dapat membawa sedikit kelegaan dan ketenangan kepada mereka yang kehilangan ahli keluarga dalam tragedi ini.

“Kami berdoa agar mereka diberi kekuatan untuk meneruskan kehidupan, walaupun tanpa insan yang tersayang. Kami akan terus berusaha mencari keadilan untuk mereka,” kata kementerian lagi.


Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh. Penumpang lain membabitkan rakyat Australian, Britain, Malaysia dan Indonesia.