Malaysia, Thailand, Singapura dan Vietnam merupakan antara negara-negara Asia Pasifik yang dibenarkan kembali atau melawat England tanpa perlu menjalani proses kuarantin 14 hari.

Kementerian Pengangkutan negara itu pada Jumaat mendedahkan lebih 70 negara yang dibenarkan memasuki negara itu tanpa menjalani proses kuarantin bermula 10 Julai ini.

Mereka yang tiba dari negara yang 'berisiko rendah' ini tidak perlu menjalani proses kuarantin.

Ini sekali gus bermakna, rakyat negara itu yang mahu bercuti ke luar negara yang berisko rendah tidak perlu bimbang terhadap proses kuarantin setibanya semula ke England.

Antara negara lain yang dikategorikan sebagai berisiko rendah adalah New Zealand, Australia, Jepun, Korea Selatan, Sepanyol, Itali dan Jerman.

Bagaimanapun, mereka yang tiba dari negara berisiko tinggi masih perlu menjalani proses kuarantin 14 hari.

Negara yang masih dikategorikan sebagai berisiko tinggi adalah Amerika Syarikat, Sweden, Mexico, Brazil, Rusia, Iran, India, Pakistan dan Bangladesh.

Sementara itu, Pejabat Luar dan Komanwel (FCO) negara itu turut mendedahkan senarai negara yang dibenarkan untuk rakyatnya melawat.

Malaysia merupakan negara Asia Pasifik yang tersenarai bersama-sama dengan Australia, Brunei, Polynesia, Hong Kong, Jepun, Macau, New Zealand, Taiwan, Thailand, Singapura, Korea Selatan, Vietnam dan Wallis & Futuna.

Ini bermakna England membenarkan rakyatnya melawat ke negara-negara yang disenaraikan tersebut berpandukan polisi yang ditetapkan oleh insurans pelancongan.

Mulai 4 Julai, Malaysia dikecualikan daripada nasihat FCO terhadap semua perjalanan antarabangsa 'tidak penting'.

Menurut laman web FCO, ini adalah berdasarkan penilaian semasa terhadap risiko COVID-19 di negara ini yang semakin terkawal.

Bagaimanapun, perjalanan tertakluk kepada sekatan kemasukan.

Kemasukan ke Malaysia buat ketika ini dilarang, kecuali untuk warganegara Malaysia dan warganegara asing yang memiliki kategori visa menetap dan pas pekerjaan tertentu.

Sesiapa sahaja (termasuk warganegara Britain) yang mendapat kebenaran memasuki Malaysia perlu menjalani kuarantin wajib selama 14 hari dan diminta untuk mendaftarkan alamat untuk kuarantin diri, serta memuat turun aplikasi MySejahtera, dan memakai gelang tangan.

Nasihat perjalanan FCO.