Malaysia Baharu yang diidamkan rakyat mampu menjadi realiti, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bagaimanapun, Ketua Umum PKR itu berpandangan ia hanya boleh direalisasikan sekiranya wujud urus tadbir dan polisi ekonomi yang baik.

"Saya percaya dengan ada urus tadbir dan polisi ekonomi yang baik, serta penglibatan sektor awam selain menitik berat kehendak rakyat, kita mampu memenuhi janji Malaysia Baharu.

"Kita mampu membuka peluang kepada semua lapisan masyarakat tidak kira di mana mereka berada, agama dan bangsa termasuk membuka peluang kepada golongan muda untuk terus maju," katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Pelaburan bertemakan 'Malaysia: A New Dawn' di sini hari ini.


Tambah beliau, kemakmuran negara perlu dinikmati oleh semua rakyat di negara ini termasuk golongan yang kurang bernasib baik.

Justeru, beliau berpandangan bahawa Malaysia Baharu merupakan satu peluang untuk mengembalikan integriti dan kebertanggungjawaban.

"Seperti saya katakan, dengan merujuk kepada keberanian Tun Dr Mahathir, setiap antara kita mampu menggapai kehidupan yang lebih baik yang kini sedang menanti kita," katanya.