Malaysia akan mendapatkan bantuan dari lelaki terkaya di Jepun, iaitu Masayoshi Son bagi mewujudkan peluang pelaburan lebih di negara itu, khususnya dalam bidang robotik dan kecerdasan buatan (AI), kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata, dengan kepakaran pengasas conglomerate Softbank itu, Malaysia sedikit sebanyak dapat meningkatkan ilmu pengetahuan, serta mewujudkan ruang perniagaan yang lebih kondusif dalam dua bidang tersebut.

“Asalnya kita mahu khidmat nasihat dia, dan nak lantik dia dalam Lembaga Pengarah Khazanah, tapi dia sendiri bagi tahu saya, takat nasihat dia saja tak berkesan.

“Dia lebih berminat untuk membawa pelaburan terus ke negara ini, dan dia harap Malaysia boleh mempertimbangkan untuk beliau mengembangkan operasi syarikatnya iaitu Softbank di negara kita,” katanya kepada media Malaysia di Tokyo hari ini.

Dr Mahathir berkata, beliau tahu organisasi milik Son mempunyai kepakaran khusus dalam kedua-dua bidang itu, sekaligus boleh memberi peluang kepada Malaysia untuk mendalami sektor tersebut.

Ujar Perdana Menteri lagi, kesediaan Son untuk mewujudkan kolaborasi dengan pihak Malaysia, serta membawa organisasi beliau ke sini juga memberi manfaat dari segi peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk rakyat Malaysia.

Menurut Forbes, Son dikatakan memiliki asset melebihi USD21.9 bilion, dan selain Softbank, beliau juga merupakan pengerusi Sprint Corporation, sebuah syarikat berpangkalan di Amerika Syarikat, dan Arm Holdings, yang berpangkalan di United Kingdom.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir turut berharap agar kepakaran Son dalam bidang robotik dan AI dapat dimanfaatkan dalam bidang pendidikan negara ini.